KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang ekonomi pada tahun hadapan selepas moratorium dan skim-skim bantuan lain berakhir.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Muhd Daud Bakar berkata, MAIWP akan menambah bajet termasuk menggunakan rizab serta simpanan sedia ada untuk meningkatkan bantuan zakat.
Iklan
Iklan
"Kita menjangkakan krisis ekonomi dan kesusahan rakyat akan dilihat ketara selepas berakhirnya moratorium dan skim-skim bantuan tahun depan.
"Kita akan melihat tsunami atau gelombang baharu dalam masyarakat, di situ MAIWP kena bersedia untuk memberi lebih daripada kutipan pada tahun tersebut.
"MAIWP akan menggunakan rizab sedia ada untuk menghadapi krisis hilang pekerjaan dan kewangan serta bagi mereka yang tidak mampu membayar komitmen," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pengerusi MAIWP bersama Pengamal Media yang berlangsung di Hotel Shangri La di sini pada Rabu.
Katanya, MAIWP memperuntukkan bantuan kewangan mencukupi bagi menghadapi kemungkinan itu.
"Jika berlaku situasi itu, MAIWP ada kewangan mencukupi dalam tempoh tiga hingga hingga enam bulan bagi membantu golongan B40 dan M40 yang terkesan dengan aliran kewangan terhad tahun depan," katanya.