Terkejut jumpa ular sawa 250kg ketika korek tanah

Iklan
Ular sawa tersebut ditempatkan di pejabat APM Marang sebelum dipindahkan ke Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman dalam masa terdekat. - Foto APM

MARANG - Seorang pekerja tapak binaan terkejut apabila menemui seekor ular sawa batik seberat 250 kilogram (kg) ketika melakukan kerja rutin di Kampung Gong Nangka di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Ketika kejadian, lelaki itu sedang bekerja di tapak binaan menggunakan jentolak sebelum reptilia tersebut ditemui dalam tanah yang dikorek dan dibersihkan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, pihaknya menerima laporan penemuan ular tersebut pada jam 2 petang lalu dan tiga anggota dikejarkan ke lokasi.

Iklan

"Ular sawa sepanjang 5.79 meter ini berjaya ditangkap oleh petugas APM dalam tempoh 25 minit dan dipindahkan ke dalam lori dengan bantuan orang awam menggunakan jentolak.

"Selepas itu, seekor lagi ular sawa turut ditemui berhampiran lokasi penemuan ular pertama," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Ular sawa seberat 250kg yang ditemui di Kampung Gong Nangka pada Rabu. - Foto APM

Beliau berkata, saiz ular sawa kedua lebih kecil berbanding pertama dengan berat dianggarkan 100kg dan panjang 4.27 meter.

"Kita percaya lokasi itu adalah sarang reptilia tersebut dan kedua-dua ular ini akan dipindahkan ke Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman dalam masa terdekat," katanya.

Katanya, setakat November ini pihaknya sudah berjaya menangkap 1,103 ekor ular dan spesies paling banyak adalah sawa serta tedung selar.

"Oleh itu, saya menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan segera menghubungi pihak berkuasa melalui talian kecemasan sekiranya menemui ular atau haiwan berbisa lain," katanya.