KUCHING - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) menasihatkan kesemua pemegang Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) terlibat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 supaya membuat persediaan seperti mengamalkan tahap keselamatan paling terbaik serta beroperasi mengikut had dan keupayaan pesawat.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, susulan keadaan hujan dan ribut semasa maka adalah lebih baik untuk juruterbang helikopter menangguhkan pendaratan sehingga cuaca bertambah baik.
"Pengendali perkhidmatan udara mesti sentiasa memastikan kru operasi mendapat maklumat keadaan cuaca terkini serta menerapkan pengetahuan tempatan mengenai perubahan cuaca. Apabila tidak pasti atau wujud keraguan, juruterbang tidak boleh teragak-agak untuk menangguhkan pendaratan.
"Pengendali dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan situasi semasa di lapangan dan melakukan semakan penuh butiran penerbangan sebelum perjalanan dan memastikan semua taklimat keselamatan dijalankan dengan teliti bagi memastikan risiko dapat dikurangkan ke tahap yang terbaik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Perkhidmatan pesawat seperti helikopter sering digunakan oleh calon dan ahli politik semasa pilihan raya negeri di Sarawak terutama untuk berkempen di kawasan tanah tinggi, pedalaman dan terpencil dengan akses jalan raya yang terhad.
Chester berkata, CAAM akan sentiasa memantau sebarang penerbangan dilakukan secara haram dan akan mengambil tindakan segera terhadap pelanggaran sebarang peraturan melibatkan operasi helikopter.
Beliau mengingatkan pemegang AOC supaya memberi perhatian terhadap butiran seperti memastikan pemeriksaan awal dijalankan secara teliti dan semua pesawat diselenggarakan dengan baik.
Di samping itu, pemegang lesen harus memantau keletihan kru dan sentiasa mengekalkan kesedaran pada tahap tinggi mengenai persekitaran dan keadaan semasa di lapangan.
"Langkah sedemikian diambil supaya setiap penerbangan yang dilakukan akan pulang dengan selamat dan peka terhadap perubahan cuaca bagi memastikan keputusan yang selamat dibuat setiap masa,” katanya. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my