SEREMBAN - Kadar indeks jenayah di Negeri Sembilan mencatatkan penurunan sebanyak 23.3 peratus iaitu 1,698 kes berbanding 2,213 kes dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan salah satu faktor indeks jenayah berkenaan menurun.
"Kita menjangkakan statistik penurunan kes jenayah di Negeri Sembilan pada tahun ini turun 20 ke 23 peratus.
"Saya boleh beri jaminan yang kita akan terus berusaha mengekang kegiatan jenayah dan masyarakat juga diharap dapat memainkan peranan," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran dan Simulasi 'Go To Safety Point' (GTSP) di Stesen Minyak Petron di Ainsdale dekat sini pada Khamis.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku sedikit peningkatan kes selepas ini susulan masyarakat sudah diberi kebebasan untuk bergerak dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Dalam tempoh sebulan ini, nampak sedikit trend peningkatan, tapi ia masih terkawal.
"Kita akan terus meningkatkan pemantauan. Cuma kes mencederakan orang menunjukkan peningkatan sebanyak 1.46 peratus," katanya.
Sementara itu, berkenaan program GTSP, beliau berkata, sebanyak 178 stesen minyak di Negeri Sembilan menjalin kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelas beliau, dengan kerjasama itu, polis dapat menyelesaikan kes jenayah yang berlaku terhadap pengusaha atau pelanggan di stesen minyak dengan lebih cepat.
"Pada tahun ini sehingga November, sebanyak sembilan kes samun dan pecah masuk stesen minyak direkodkan dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000.
" Lapan kes masih dalam siasatan dan satu kes telah selesai," ujarnya.
Dalam pada itu, berhubung kes seorang bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan lemah di rumah pengasuhnya di Senawang dekat sini, Mohamad berkata, tiga individu sudah diambil keterangan.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, ibu bayi berkenaan segera ke rumah pengasuh selepas dihubungi pada jam 4.40 petang.
Bagaimanapun, sebaik tiba, wanita berkenaan mendapati anaknya dalam keadaan pucat serta tiada tindak balas ketika cuba dikejutkan.
Bayi itu disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit diberi rawatan kecemasan semasa berada hospital.