SHAH ALAM - Laman sesawang rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengalami gangguan selepas diserbu pengguna yang mahu melangsaikan tunggakan saman.
Ia selepas pengumuman pengurangan bayaran saman yang ditawarkan oleh JPJ sehingga 80 peratus sempena sambutan Acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula pada Khamis.
Iklan
Iklan
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di media sosial, orang ramai tidak dapat mengakses laman sesawang tersebut bermula jam 10 pagi tadi.
Sekitar jam 1 petang, laman sesawang tersebut masih lagi belum dapat diakses.
Pada Selasa, JPJ menawarkan pengurangan bayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua Notis Saman JPJ (yang boleh dikompaun) bermula 9 hingga 12 Disember ini.
JPJ berkata, diskaun bayaran saman itu bagaimanapun tidak terpakai bagi kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.
Menurutnya, kemudahan bayaran saman itu turut disediakan menerusi kemudahan Unit Mudah Alih JPJ dan Kioks JPJ di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan seluruh pejabat JPJ di seluruh negara.