SHAH ALAM - Sebanyak RM5 juta diperuntukan bagi mewujudkan Kampung Budaya Selangor sebagai pusat rujukan sejarah, kebudayaan dan tradisi etnik di negeri ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah berkata, usaha yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2020 itu adalah salah satu komponen projek Gerbang Maritim Selangor di tepi Sungai Klang.
"Sebidang tanah seluas 35 ekar (14 hektar) di tepi Sungai Klang yang terletak di tengah-tengah bandar Klang dikenal pasti untuk dibangunkan. Sejumlah RM5 juta diperuntukkan yang akan meningkatkan elemen tarikan kepada projek tersebut.
"Idea Kampung Budaya Selangor selanjutnya dikembangkan dengan cadangan menamakan sebagai Taman Budaya Selangor dengan visi untuk mengubah bahagian Pembangunan Gerbang Maritim Selangor di lot plot bernombor PT4443 menjadi hab aktiviti kebudayaan,” katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Khamis.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Bharu) mengenai kos dan lokasi pusat kebudayaan Selangor.
Sementara itu, Borhan berkata, komponen Taman Budaya Selangor meliputi kira-kira 5.3 hektar (13.26 ekar) dan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu zon penampan sungai, jalan dan taman.
"Taman seluas kira-kira sembilan ekar (3.6 hektar) itu akan dibuka kepada orang ramai dengan jalan masuk khusus. Purata panjang taman ini adalah lebih kurang 1.25 kilometer (km),” jelas beliau.