Kelantan peruntuk RM11.2 juta untuk Program Kelantanku Bersih 2022

Iklan
Kerajaan Kelantan memperuntuk RM11.2 juta bagi Program Kelantanku Bersih 2022 untuk meningkatkan tahap kebersihan di seluruh negeri. - Foto 123RF

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntuk RM11.2 juta bagi Program Kelantanku Bersih 2022 untuk meningkatkan tahap kebersihan di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia melibatkan program kebersihan, membina dan menaik taraf kemudahan pusat rekreasi dan pelancongan serta kemudahan awam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, peruntukan itu juga akan membabitkan keperluan untuk menaik taraf kemudahan awam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menaik taraf pusat pelupusan sampah.

"Ia merupakan satu inisiatif bersepadu antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat dalam merealisasikan negeri Kelantan yang bersih dan rakyat yang cakna terhadap kebersihan.

Iklan

"Oleh itu, kita berharap semua pihak sentiasa mengamalkan sikap kebersamaan dan bersedia untuk mengubah budaya hidup yang mementingkan kebersihan agar kebersihan menjadi satu budaya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 dan Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria PBT Negeri Kelantan, di sini pada Khamis oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Iklan

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, pada Istiadat Pembukaan Persidangan Keempat DUN Kelantan ke-14, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan agar aspek kebersihan diberi perhatian oleh setiap lapisan masyarakat.

"Bagi menjunjung titah baginda, saya juga berharap semoga PBT dapat melaksanakan program Kelantanku Bersih dengan lebih efektif melibatkan masyarakat dan menjadikan Zon Bersih, Indah dan Ceria sebagai fokus utama.

Sementara itu, Abdullah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang bergejala dinasihatkan agar menjalani kuarantin kendiri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, ia susulan ADUN Tendong, Mohd Rozi Mohamad dan Tanjong Mas Rohani Ibrahim disahkan positif Covid-19 pada persidangan DUN minggu lepas.

"Saya menasihatkan kesemua 41 ADUN untuk menjalani kuarantin kendiri sekiranya bergejala.

"Setakat ini hanya dua ADUN positif Covid-19, manakala ADUN Kemuning (Mohd Roseli Ismail) menjalani kuarantin berikutan menjadi kontak rapat selain Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) turut mengambil inisiatif menjalani kuarantin di rumah,” katanya. - Bernama