SELAYANG - Seorang ahli perniagaan berstatus Datuk Seri yang sebelum ini didakwa bagi kes rasuah di Shah Alam dan Kuala Lumpur, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Mohammed Al Faizal Mohammed Ibrahim, 45, kali ini didakwa atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung permohonan permit pekerja asing.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa telah memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun untuk memindahkan wang sebanyak RM115,100 ke dalam akaun bank RHB miliknya.
Ia bagi permohonan permit pekerja asing yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bandar Rawang antara 17 Julai 2020 dan 19 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon ikat jamin pada kadar yang rendah kerana perlu menanggung isteri dan empat anak yang masih belajar.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Hafizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Pada 18 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan Mohammed Al Faizal mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memperdayakan seorang individu dan menerima suapan berjumlah RM176,000 bagi membantu melepaskan 22 warga China.
Pada 23 Mac lalu pula, tertuduh didakwa lagi dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM476,000 untuk melepaskan 22 orang warga China.