KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah melucut hak barangan mewah dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, anak mereka dan beberapa individu yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Barangan itu termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada Najib, Rosmah, dua anak mereka dan lima lagi responden yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pendakwaan selaku pemohon memfailkan notis usul permohonan penangguhan itu bersama afidavit sokongan pada 24 November lalu, dengan menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), anak mereka Nor Ashman Razak, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri, Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.
Berdasarkan afidavit sokongan itu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkata pada 8 November lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta diwartakan itu dan tiada perintah diberikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi harta tersebut dipulangkan kepada pihak menuntut.
Menurut Harris Ong, permohonan penangguhan tersebut dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan yang difailkan pada 16 November lepas.
Beliau mendakwa terdapat keadaan khas yang menyokong permohonan pemohon untuk perintah penangguhan itu antaranya status quo harta disita perlu dikekalkan sehingga keputusan di Mahkamah Rayuan, bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak terutamanya pemohon yang mewakili Kerajaan Malaysia.
"Harta disita tersebut melibatkan jumlah yang besar dan merupakan dana awam, maka kepentingan awam akan dapat dipelihara dengan membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah ini.
"Sekiranya permohonan ini (penangguhan) ditolak dan pemohon berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan, tiada jaminan pemohon akan memperoleh semula harta disita tersebut kerana dikhuatiri harta itu akan dilupuskan responden sebelum rayuan pemohon didengar Mahkamah Rayuan,” kata Harris Ong dalam afidavit itu.
Sementara itu, Harris Ong ketika ditemui Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas pada Khamis, berkata, mahkamah menetapkan 14 Januari 2022 untuk kesemua responden memfailkan afidavit jawapan selain menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 17 Februari 2022.
Pada 8 November lepas, Hakim Mohamed Zaini juga membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan tersebut iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd dan tiga bekas pegawai 1MDB yang telah melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.
Jabatan Peguam Negara memfailkan notis usul pada 8 Mei 2019, berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan, termasuk beg tangan pelbagai jenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka termasuk Nooryana Najwa serta 13 individu dan syarikat dikatakan berkaitan 1MDB.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara membenarkan permohonan representasi anak Najib, Nooryana Najwa yang mahu barangan milik beliau antaranya beg tangan dan kasut dikembalikan.
Antara barangan dinyatakan dalam notis itu ialah beg tangan, kasut dan jam tangan pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas polis pada 17 Mei 2018 dan 11 Jun 2018 serta 27 kenderaan Nissan yang dirampas pada 2 Ogos 2018 dan sebidang tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank di Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd, dibeku antara 16 Ogos, 2018 dan 11 Mac 2019. - Bernama