KUANTAN - Air Sungai Kechau Tui, Lipis yang bertukar warna hijau menjadi tanda tanya sehingga tular di laman sosial Facebook pada Khamis.
Gambar perubahan warna air itu dimuat naik seorang pengguna media sosial, Man Teybor menerusi kumpulan Facebook Laman Loghat Pahang (LPP) mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Rata-rata netizen juga terkejut dan ingin mengetahui punca perubahan air sungai itu, malah tidak kurang menganggap kejadian itu penuh misteri.
Ada dalam kalangan mereka mengaitkan dengan kerja-kerja mencuci emas dan penggunaan bahan kimia jenis 'micreury' yang tinggi menyebabkan perubahan air Sungai Kechau Tui.
Mereka juga meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) segera menjalankan siasatan terhadap isu itu.
"Tolong ambil tahu...report (lapor) dan ambil tindakan" tulis seorang pengguna Facebook, Mohamed Johan dalam ruangan komen pada gambar tersebut.
Sementara itu, Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Mat Daud berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pemantauan di kawasan terbabit telah dilakukan.
"Pada masa ini siasatan giat dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian," jelas beliau.