PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan dahulu bayaran balik pembiayaan perumahan sehingga rumah peminjam siap dibina oleh pemaju atau selepas menerima kunci rumah masing-masing.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, syarat pembiayaan LPPSA ketika ini menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan daripada tarikh kelulusan pinjaman.
"Bagaimanapun pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak tahun lalu telah mengakibatkan banyak projek perumahan tergendala dan tidak dapat disiapkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
"Perkara itu telah mengakibatkan peminjam terpaksa membayar balik pembiayaan mereka walaupun kediaman mereka masih belum disiapkan oleh pemaju berikutan projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, situasi ini mengakibatkan penjawat awam yang membuat pembiayaan LPPSA terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berganda iaitu membayar sewa rumah yang sedang didiami ketika ini serta bayaran bulanan penuh pinjaman LPPSA untuk rumah yang masih belum siap.
Justeru, Cuepacs berharap LPPSA dapat memahami situasi semasa yang melanda negara kerana banyak kerja-kerja pembinaan tertangguh dan kemajuan pembinaan juga sangat perlahan disebabkan Covid-19.
"Walaupun perkara itu telah terkandung dalam perjanjian, sewajarnya kerajaan dan LPPSA menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan permasalahan ini," ujarnya.
Adnan berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, adalah suatu perkara yang sangat memeritkan apbila mereka ini perlu dipotong gaji penuh setiap bulan untuk membayar semula pinjaman.
"Sudahlah tiada moratorium diberikan untuk pinjaman LPPSA, mereka ini turut ibebani kerana terpaksa membayar bayaran penuh rumah yang masih lagi tidak siap.
"Tambahan pula dengan kos barangan yang naik mendadak ketika ini mengakibatkan pengurangan dalam pendapatan boleh guna penjawat awam," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan LPPSA perlu melihat penjawat awam dalam konteks isi rumah yang mungkin terkesan dengan pandemik Covid-19 dan bukannya sebagai individu semata-mata.
"Jika faktor individu diambil kira, masih ramai peminjam insititusi kewangan lain tidak terjejas tetapi layak mendapat moratorium pinjaman.
"Tetapi apabila diukur daripada sudut isi rumah, sudah semestinya perkara ini dipertimbangkan bagi pemberian moratorium," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, masih belum terlewat untuk kerajaan melalui LPPSA memberikan moratorium pinjaman sekurang-kurangnya tiga atau enam bulan.