Tiada aduan lambakan sayur, permintaan masih tinggi

Iklan
Foto hiasan.

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tidak menerima sebarang aduan isu lambakan sayur-sayuran di pasaran susulan laporan kenaikan harga bahan mentah itu.

Jurucakap PKPS berkata, harga sayur seperti cili merah dan kacang buncis yang naik mendadak itu disebabkan musim hujan menyebabkan penghasilan sayur-sayuran berkurangan.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, katanya, terdapat permintaan tinggi berterusan daripada pembekal antara punca harga bahan mentah itu mengalami kenaikan.

"Buat masa ini tiada subsidi diberikan bagi membantu kos operasi petani, namun perkara ini akan diteliti oleh pengurusan PKPS dan kerajaan negeri.

Iklan

"Namun, bagi mengurangkan bebanan petani, PKPS bersedia membeli hasil pertanian mereka dengan harga borong secara pukal dan menjualnya semula kepada rakyat Selangor pada harga murah dan berpatutan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurut PKPS, penduduk negeri Selangor juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan sayur lebih murah dengan PKPS menerusi kempen jualan di beberapa premis seperti Wisma PKPS dan Outlet Meru.

Iklan

"PKPS menjual dengan harga yang dijamin murah dan berpatutan kerana kita mempunyai ladang sendiri di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya.

"Sekiranya terdapat petani yang mahu menjual hasil mereka kepada PKPS, kita akan menanggung sepenuhnya kos pengangkutan untuk mengurangkan kos operasi mereka," katanya.

PKPS turut membantu mengurangkan kos operasi petani dengan mempromosikan produk baja organik yang berkualiti dan lebih murah berbanding baja organik lain atau baja kimia di pasaran.

Bagaimanapun, PKPS berharap pengusaha lebih berhemah dengan tidak menaikkan harga secara keterlaluan.

"Pengusaha diminta tidak terlalu mementingkan keuntungan tinggi memandangkan ekonomi rakyat sedang dalam proses pemulihan akibat pandemik.

"Kepada pembeli pula, buatlah pembelian secara bijak iaitu membeli secara terancang. Bagi penduduk sekitar Selangor, belilah sayur dengan PKPS yang dijamin segar, berkualiti dan harganya berpatutan," katanya.