KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat untuk menjadikan anak-anak Terengganu di perantauan sebagai ‘Duta Pelancongan’ dalam membantu mempromosikan negeri ini di seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, buat peringkat permulaan, Program Jelajah Anak Terengganu anjuran Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) berkolaborasi bersama Jabatan Pelancongan Terengganu.
Menurutnya, melalui program serampang dua mata itu, pelbagai risalah pelancongan diagihkan kepada orang ramai sepanjang program jelajah itu berlangsung.
"Saya rasa peranan anak-anak Terengganu di perantauan amat memberi impak dalam membantu promosi dan galakan pelancongan. Saya bercadang untuk melantik anak-anak Terengganu sebagai Duta Pelancongan yang membolehkan masyarakat luar lebih mengetahui produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di Terengganu.
"Jika pelantikan selebriti Mat Dan sebagai Ikon Pelancongan bakal membantu misi galakan dan promosi di luar negara, pelantikan Duta Pelancongan anak-anak Terengganu dalam Program Jelajah Anak Terengganu ini bakal menerobos pasaran pelancongan domestik yang masih lagi merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah kedatangan dan perbelanjaan pengunjung ke Terengganu,” katanya.
Program Jelajah Anak Terengganu Zon Utara yang berlangsung di Pulau Pinang kelmarin berjaya menghimpunkan lebih 350 anak-anak Terengganu yang menuntut di beberapa institusi pengajian tinggi di seperti di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Ia akan diteruskan bagi peringkat Sabah pada 17 Mac depan, sementara peringkat Zon Selatan akan diadakan di Batu Pahat, Johor pada 23 Mac.
Ia diikuti dengan Jelajah Anak Terengganu Zon Tengah pada 7 April, bertempat di Setiawangsa, Kuala Lumpur dan berakhir bagi peringkat Sarawak pada 14 April nanti.
"Program sebegini memperlihatkan kelainan strategi serampang dua mata yang menonjolkan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan anak-anak Terengganu, di samping mampu menonjolkan elemen tarikan pelancongan yang terdapat di Terengganu,” katanya.