Barang tiruan bernilai RM8 juta dirampas di KL sepanjang 2021

Iklan
KPDNHEP Kuala Lumpur merampas barangan tiruan bernilai RM8 juta dalam Ops Jeriji sepanjang tahun 2021 di sekitar ibu negara

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas barangan tiruan dengan nilai mencecah RM8 juta menerusi Ops Jeriji yang dijalankan di sini sepanjang tahun 2021.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, operasi penguatkuasaan perlindungan harta intelek giat dijalankan selepas memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka sepanjang 2021 membabitkan seramai 19 warga tempatan dan empat warga asing.

"Sebanyak 58 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 telah diambil dengan jumlah sitaan sebanyak 294,676 unit dan nilai sitaan sebanyak RM7,101,426.

Iklan

"Sebanyak lapan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 telah diambil dengan jumlah sitaan sebanyak 36,176 unit dan nilai sitaan berjumlah RM 891,942," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nurul Syarina memberitahu, pihaknya turut mengambil tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987 melibatkan sebanyak tiga kes dengan sitaan sebanyak tujuh unit barangan bernilai RM18,400.

Iklan

"Jenis barang tiruan yang paling tinggi disita adalah melibatkan pakaian, beg, kasut, aksesori dan peralatan elektronik," jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar.

"Orang ramai juga diminta untuk tidak bersubahat dengan membeli barangan tiruan berjenama daripada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my atau aplikasi Whatsapp di talian 019- 279 4317," ujarnya.