TUMPAT - Jabatan Laut Malaysia (JLM) menjelaskan objek besar yang ditemui terdampar di Pantai Geting di sini 6 Disember lepas adalah alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan JLM pada Khamis, boya itu berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kepada kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air di kawasan berkenaan.
Iklan
Iklan
Difahamkan, peralatan milik JLM itu ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu tetapi hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini.
Sehubungan dengan kejadian itu, Bahagian Pengurusan Trafik dan Bantuan Pelayaran (BPTBP) Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur (JLMWT) telah mengarahkan Ketua Pejabat Laut Kuala Besar, Kota Bharu supaya menyiasat kejadian itu.
Satu laporan polis juga telah dibuat di Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat ekoran kejadian itu dan kerja-kerja memindahkan boya berkenaan ke Jeti Pejabat Laut Kuala Besar telah selesai dilakukan semalam.
Penemuan objek itu di tepi Pantai Geting yang tular Isnin lepas menimbulkan pelbagai spekulasi orang ramai termasuk ada yang menganggapnya sebagai piring terbang serta mengaitkannya dengan makhluk asing. - Bernama