Saya tak pernah anggap diri seorang 'superstar': Safawi

Iklan
Muhammad Safawi Rasid

SAYA tidak pernah menganggap diri saya adalah seorang pemain bintang.

Itu kata-kata merendah diri daripada pemain sayap skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid selepas menjaringkan hatrik untuk membantu Malaysia membenam Laos 4-0, sekali gus meraih kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020.

Iklan
Iklan

Tiga gol dijaringkan Muhammad Safawi di Stadium Bishan, Singapura itu membolehkan beliau kini mendahului senarai penjaring terbanyak kempen kejuaraan dengan mengumpul empat gol.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 24 tahun itu mendedikasikan kejayaannya meledak hatrik kepada barisan kejurulatihan serta rakan sepasukan dan enggan mendabik dada dengan pencapaian itu meskipun ia boleh dianggap sebagai aksi terbaiknya dalam tempoh kebelakangan ini.

Iklan

"Saya sebelum ini tak pernah saja-saja cakap kepada orang termasuk media bahawa saya seorang bintang handalan. Dengan (sokongan) jurulatih dan rakan-rakan buatkan saya kembali. Terima kasih kepada ALLAH izinkan saya kembali ke prestasi sebenar.

"Tapi saya juga tahu saya kena terus tingkatkan tahap permainan saya untuk bantu pasukan dan kami akan cuba berikan yang terbaik pada perlawanan akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang Laos pada Khamis.

Iklan

Pada aksi yang berlangsung petang Khamis, Muhammad Safawi meledak dua gol pertama Malaysia pada minit ketujuh dan ke-34 untuk memberikan permulaan sempurna buat skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Muhammad Safawi melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-80 iaitu gol keempat skuad Harimau Malaya, dua minit selepas pemain pertahanan Mohd Shahrul Saad menjaringkan gol ketiga negara.

"Tahniah kepada Safawi kerana sekian lama bekerja keras bersama skuad kebangsaan dan hari ini ia terbukti menerusi jaringan hatrik. Dia (Safawi) ada keistimewaan tersendiri tetapi dia mesti teruskan kerja keras kerana masih banyak boleh diperbaiki,” kata Cheng Hoe.

Cheng Hoe mengakui kemenangan ke atas Laos amat diperlukan untuk menyuntik semangat anak buahnya bagi menghadapi cabaran lebih getir berdepan juara bertahan Vietnam pada Ahad ini.

"Satu lagi aksi hebat daripada pemain dan kami yakin mampu memperoleh tiga mata. Ia suntikan semangat untuk pasukan menghadapi perlawanan seterusnya. Sebagai jurulatih, saya percaya pemain mesti lebih tenang pada permulaan perlawanan dan diharapkan kami akan terus bertambah baik,” katanya.

Malaysia akan menentang Vietnam pada Ahad sebelum menutup saingan Kumpulan B menentang musuh tradisi Indonesia pada 19 Disember ini. - Bernama