Nasihat buat Mohamad Aniq

Iklan
Mohamad Aniq ketika beraksi di Kejuaraan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 yang diadakan bersekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 di Uzbekistan.

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) menyifatkan kejayaan permata baharu angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan meraih pingat emas di Kelayakan Sukan Komanwel 2022 yang diadakan bersekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 di Uzbekistan, merupakan semangat baharu buat badan induk tersebut.

Malah menurut Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, atlet berusia 19 tahun dari Johor itu berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam sukan tersebut berdasarkan prestasi semasa dipamerkannya dalam penampilan sulung itu.

Iklan
Iklan

"Ya, memang Aniq adalah atlet baharu dari Johor yang PABM ambil untuk team utama kebangsaan bukan pelapis kerana persatuan percaya dia mempunyai keupayaan dan potensi untuk lebih menyerlah pada masa depan walaupun dalam usia muda.

"Namun saya ingin titipkan nasihat kepada Aniq yang meraih kejayaan pada usia muda ini agar sentiasa beringat dari mana dia bermula dalam sukan ini selain patuh arahan dan kekalkan disiplin.

Iklan

"Sentiasa hormati persatuan, jurulatih dan sesama atlet serta ingat selalu harapan kedua-dua ibu bapa, aspirasi persatuan dan tanggungjawab terhadap negara. Namun paling penting sekali jangan sesekali berjinak-jinak dengan bahan terlarang yang akan menghancurkan karier dan masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sementara itu, Mohamad Aniq di laman sosialnya menyifatkan kejayaan pada penampilan sulungnya di kejohanan antarabangsa itu,"Kejayaan ini merupakan rezeki di bumi Uzbekistan." katanya.

Iklan

Mohamad Aniq dalam kejohanan di Tashkent tampil cemerlang dalam kategori 55 kilogram (kg) lelaki berjaya melakukan angkatan 107kg bagi kategori snatch dan 142kg clean and jerk bagi mencatat keseluruhan 249kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan sebelum ini milik Azroy Hazalwafie dengan catatan 248kg.

Keputusan itu menyaksikan Aniq mengakhiri saingan kategori tersebut di kedudukan kelima pada Kejohanan Angkat Berat Dunia sekali gus membawa pulang pingat perak bagi kategori clean and jerk.

Kejayaan Mohamad Aniq meraih pingat emas di Kejuaraan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 yang diadakan bersekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 anjuran Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) secara tidak langsung membolehkannya menempah slot ke Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Mengulas persiapan kem angkat berat negara menjelang temasya Sukan SEA Vietnam 2021 yang bakal menyingkap tirai pada Mei tahun depan, Ayub berkata, PABM hanya memiliki tiga atlet ad hoc yang dihantar ke Uzbekistan selepas membubarkan kem kebangsaan baru-baru ini.

"Insya-ALLAH, hujung bulan ini kita akan umumkan barisan atlet, jurulatih yang akan yang memberi tumpuan bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA, Sukan Komanwel, manakala untuk pelapis dan lain-lain akan menyusul kemudian,” katanya.