SHAH ALAM - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa siasatan dengan lebih telus dijalankan berkenaan dakwaan isu kartel di dalam Jabatan Imigresen.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, siasatan ini adalah amat penting supaya imej jabatan dapat dibersihkan daripada dakwaan tersebut.
Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan siasatan tersebut baik secara dalaman oleh pihak jabatan sendiri mahu pun oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan siasatan adalah tertumpu pada segelintir pihak yang disyaki terlibat.
"Siasatan juga perlu diperluaskan kepada pelbagai pihak seperti vendor dan agensi swasta lain yang terlibat sama dalam perkhidmatan Jabatan Imigresen kerana ia juga tidak mustahil berlaku.
"Selaras dengan sambutan Hari Imigresen Malaysia pada 1 Disember lalu dengan tema Ke Arah Perkhidmatan Imigresen Bertaraf Dunia, dakwaan ini tidaklah seperti yang digambarkan kerana MHO melihat banyak kejayaan telah dicapai oleh jabatan berkenaan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, MHO lebih berpandangan sepatutnya masyarakat menyokong dan menghargai usaha baik dan khidmat cemerlang jabatan itu yang menuju ke taraf dunia.
Katanya, usaha dengan memberi kesedaran dan pendidikan di samping budaya integriti perlu sentiasa diterapkan dalam semua aspek operasi urus niaga jabatan.
"Salah satu yang ketara dengan aplikasi e-government dalam penyampaian perkhidmatan di imigresen menunjukkan iltizam pengurusan tertinggi jabatan dengan meminimumkan ruang dan peluang kadar rasuah dalam sesuatu proses amatlah dipuji di samping ia amat memudahkan kehidupan rakyat ketika ini," ujarnya.
Pada 1 Disember lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pembabitan kartel itu bukan sahaja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan itu malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka.