PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan Phil Foden dan Nathan Ake hampir pasti tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Wolverhampton Wanderers di Etihad pada Sabtu.
Menurut Guardiola, kedua-dua pemain berkenaan disahkan mengalami kecederaan ketika beraksi berdepan RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara, pada Selasa.
"Kedua-dua pemain tonggak ini hampir pasti tidak beraksi pada perlawanan menentang Wolves kerana masih belum pulih daripada kecederaan.
"Selain itu, dua lagi tonggak City Gabriel (Jesus) dan Aymeric (Laporte) juga dilaporkan mengalami kecederaan dan perlu melepasi ujian kecergasan sebelum beraksi berdepan Wolves.
"Bagaimanapun, kita tetap yakin dengan barisan yang akan diturunkan nanti mampu mencatatkan kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, City kini gah di puncak EPL dengan 35 mata setelah mengharungi 15 perlawanan manakala Wolver berada pada kedudukan kelapan dengan 21 mata.
Sementara itu Guardiola berkata, kekalahan 1-2 kepada Leipzig pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Selasa lalu telah menamatkan rekod tanpa kalah City dalam tujuh perlawanan bagi semua pertandingan setakat ini.
Justeru katanya, skuad The Citizens itu perlu mula mencatatkan semula kemenangan pada perlawanan-perlawanan akan datang.
"Kita perlu mencatatkan semula kemenangan setelah tewas kepada Leipzig kerana ia penting untuk membantu mengukuhkan kedudukan pasukan dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya