KOTA TINGGI - Sebuah keluarga di Felda Lok Heng Selatan, Kota Tinggi di sini kini sedang mencari salah seorang ahli keluarga berkenaan, Syahira Madzalan, 18, yang hilang dua minggu lalu.
Menurut kakak remaja perempuan yang hilang berkenaan, Syamimi, 35, kehilangan adiknya itu disedari ibu mereka pada jam 5 petang, 23 November lalu.
Kata Syamimi, ibu mereka kemudian memaklumkan kepada abang Syahira, Muhammad Syahir, 24, bahawa anak bongsu daripada lima beradik itu tiada di rumah.
"Masa itu ibu saya beritahu dia mahu panggil adik (Syahira) untuk buat air namun adik tiada dalam bilik. Ibu saya juga ada maklumkan kali terakhir dia lihat adik keluar menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Kembara.
"Masa itu ibu saya tak pasti nombor kenderaan dinaiki. Jiran juga memaklumkan tidak nampak siapa selain adik yang berada dalam kereta.
"Masa itu ibu saya memang ingat adik ada dalam biliknya tapi bila jenguk di biliknya tiada. Adik pula tiada telefon untuk dihubungi," katanya ketika ditemui.
Dia berkata, pakaian terakhir dipakai adiknya semasa keluar adalah baju-T berwarna hitam, seluar 'slack' dan bercermin mata serta tidak bertudung.
Jelasnya, Syahira mempunyai ketinggian dianggarkan 153 sentimeter (cm) dan merupakan seorang yang berbadan kurus.
Syamimi yang duduk di Kulai berkata, setiap minggu dia akan pulang ke rumah ibunya itu malah beberapa hari sebelum adiknya hilang, dia juga ada di felda tersebut.
"Adik memang tidak ada masalah di rumah. Mak beritahu dia berbual seperti biasa sahaja sebelum itu. Kami juga tak tahu siapa yang membawanya menaiki kenderaan itu.
"Kami sekeluarga terutamanya mak dan abah amat risaukan keselamatannya. Pelbagai ikhtiar juga kami lakukan untuk mencari adik dan berharap dia akan pulang," katanya lagi.
Katanya, susulan itu satu laporan polis juga telah dibuat oleh keluarganya berkenaan kehilangan Syahira di Balai Polis Bandar Penawar, dekat sini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan Syahira boleh hubungi keluarganya di talian 010-4111635 atau 013-4030156.