Sindiket judi dalam talian kaut RM2.7 juta tumpas

Iklan
Ayob Khan (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru pada Rabu

JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian yang mengaut untung kira-kira RM2.7 juta selepas menyerbu sebuah kediaman berpagar dan ada pengawal di Taman Ungku Tun Aminah (Tuta) di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu, seramai lima warga Indonesia berusia 21 hingga 29 tahun dipercayai menjadi operator tambah nilai bagi kegiatan berkenaan ditahan.

Iklan
Iklan

"Serbuan berjaya dilakukan hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihak polis lebih sebulan mengenai kegiatan judi dalam talian yang beroperasi 24 jam sejak Mac lalu ini.

"Pemeriksaan mendapati premis berpagar dan ada pengawal ini dijadikan sebagai pusat judi dalam talian atau 'calling centre' yang menawarkan perjudian secara dalam talian melalui tiga laman sesawang.

Iklan

"Sindiket ini juga dipercayai menyasarkan pelanggan tempatan dengan nilai kutipan dari RM3,000 hingga RM10,000 sehari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Jumaat.

Ayob Khan berkata, kesemua suspek ditahan itu dibayar gaji antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan, selain menerima komisen dari RM500 hingga RM800 berdasarkan keuntungan bulanan.

Iklan

Katanya, dalam operasi itu polis juga bertindak merampas tiga komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat pemacu modem dan kunci rumah.

"Kesemua lima suspek dipercayai masuk ke negara ini sejak 2019 melalui pas lawatan sosial, malah pasport mereka dipegang oleh ejen sindiket terbabit. Dalang utama sindiket ini masih dikesan.

"Mereka ini bekerja secara rela kerana gaji yang ditawarkan adalah lumayan.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula dari 9 hingga 11 Disember ini," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.