ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin berjaya menempah slot ke Sukan Komanwel 2022 bagi kategori 61 kilogram (kg), setelah meraih emas dalam Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan pada Khamis malam.
Muhammad Aznil, 27, muncul badang kedua layak ke Sukan Komanwel 2022, selepas Mohamad Aniq Kasdan yang menggungguli kategori 55kg dengan angkatan keseluruhan 249kg, yang juga rekod kebangsaan baharu.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Ayub Rahmat berkata, kejohanan yang diadakan sekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 menyaksikan atlet berasal dari Kedah itu mendapat tempat kelima daripada keseluruhan 16 atlet lain yang bertanding.
Beliau berkata, Muhammad Aznil melakukan angkatan 120kg bagi snatch dan 153 bagi clean and jerk, dengan keseluruhan angkatan 273kg.
"Malaysia buat masa ini berada di ranking pertama kelayakan Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan mengesahkan tempat ke Sukan Komanwel 2022 bagi kategori 61kg lelaki," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Muhamad Aznil adalah pemenang pingat emas bagi kategori 62kg di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
Atlet ketiga negara, Muhammad Erry Hidayat pula akan bertanding dengan 10 lagi atlet bagi kategori 73kg pada 10 malam ini (waktu tempatan).
"Kita mengharapkan agar Erry dapat menambah kegembiraan kontinjen negara pada siri kelayakan ini," katanya.
Kejohanan yang bermula pada 7 Disember itu, akan berakhir pada 17 Disember ini. - Bernama