Tindakan berani pekerja gagalkan cubaan samun

Iklan
Rakaman CCTV tindakan suspek cuba melakukan samun

NILAI - Cubaan seorang lelaki menyamun sebuah stesen minyak di Gadong di sini, semalam, tidak berjaya apabila dihalang pekerja premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, suspek yang bersenjatakan sebilah parang telah masuk ke dalam premis lalu mengarahkan pekerja membuka peti simpanan duit.

Iklan
Iklan

"Ketika itu terdapat lima pekerja dan suspek yang memakai penutup mulut masuk ke dalam premis sambil mengacukan sebilah parang.

"Namun berlaku pergelutan antara suspek dan seorang pekerja lelaki apabila peti simpanan duit tidak dapat dibuka. Dua pekerja wanita keluar selamatkan diri kerana ketakutan," katanya.

Iklan

Menurutnya, pengurus yang berada dalam pejabat telah keluar membantu menyebabkan suspek melarikan diri tanpa berjaya mengambil apa-apa.

Rakaman CCTV tindakan suspek cuba melakukan samun

Beliau berkata, suspek dilihat menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu dan memecut menuju ke arah Sepang.

Iklan

"Polis sudah pun meneliti 15 rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan semakan mendapati kereta dipandu suspek menggunakan nombor plat palsu.

"Polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, rakaman CCTV berdurasi satu minit yang memaparkan tindakan suspek menjadi tular di laman sosial hari ini dan telah ditonton 5,700 pelayar.