Penjawat awam Perak terima bantuan khas RM1,000

Iklan
Gambar hiasan

IPOH - Penjawat awam di Perak bakal menerima Bantuan Khas Kewangan sejumlah RM1,000 menerusi Belanjawan 2022 Perak yang dibentangkan pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan itu sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang setia bersama kerajaan negeri dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembayaran bantuan khas tersebut akan dibuat seawal bulan Januari tahun hadapan.

"Selain itu, sebagai usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri, tambahan dana sejumlah RM1 juta disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Membeli Kenderaan.

Iklan

"Sementara itu, tambahan dana RM1 juta juga disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Diri (Pegawai Awam)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Perak Darul Ridzuan ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.5 juta bagi memastikan semua jabatan di bawah kerajaan negeri dilengkapi dengan perkhidmatan telekomunikasi internet yang baik.

Iklan

Katanya, peruntukan tersebut meliputi PERAKNET berjumlah RM3.5 juta, peningkatan keupayaan pendigitalan sebanyak RM2.5 juta, media dan penerangan (RM1.2 juta) serta sumbangan komunikasi dan multimedia (RM300,000).

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperluaskan mod bayaran tanpa tunai di semua jabatan dan agensi negeri secara berperingkat sebelum dicapai sepenuhnya pada tahun 2023.