Pemandu lori didenda RM2,000 pindah lembu tanpa kebenaran

Iklan
Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pemindahan 21 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang pada bulan Januari lepas. - Foto Bernama

BUTTERWORTH - Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret (Munisipal) di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah melakukan pemindahan 21 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang pada Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Aidil Abdul Halim, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup menggunakan lori tanpa mendapat kebenaran bertulis pengarah negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Kesalahan didakwa dilakukan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada jam 10.07 malam, 29 Januari lalu.

Iklan

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang di baca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM15,000.

Iklan

Dalam rayuannya, Mohd Aidil memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda dengan alasan perlu menyara keluarga dan membayar insurans pinjaman perumahannya.

Noor Farah Hazwani turut memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucut hak.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPV negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama