TUMPAT - Enam individu direman tujuh hari selepas menyerah diri di Balai Polis Pasir Puteh, pada Khamis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga asing awal November lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, enam suspek berkenaan berumur dalam lingkungan 17 hingga 28 tahun masing-masing bekerja sendiri dan ada yang tidak bekerja.
"Mereka direman seminggu bermula Khamis. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan dengan penyerahan diri tersebut, kami yakin kes ini dapat diselesaikan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas solat Jumaat dan menyampaikan bakul makanan kepada masyarakat setempat di Masjid Ar Rahman, Mukim Kubang Batang di sini pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan enam lelaki termasuk dua remaja diburu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga asing yang mayatnya ditemui di jeti pendaratan ikan Tok Bali, di sini.
Shafien sebelum ini memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa dicederakan sekumpulan lelaki selepas didakwa cuba menceroboh masuk ke sebuah premis perniagaan.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan kakinya diikat pada tali selain terdapat kesan koyak pada kepala serta kecederaan lain dipercayai dipukul beramai-ramai sebelum mayatnya dibuang di jeti pendaratan ikan di Tok Bali.