SHAH ALAM - Satu legasi kepimpinan terbentuk di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila parti pembangkang bersetuju untuk melaksanakan genjatan politik dalam suasana pandemik Covid-19.
Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, genjatan politik menerusi memorandum persefahaman itu membuktikan kejayaan beliau membawa negara keadaan keadaan lebih stabil dan menentu.
Beliau berkata, ia dapat mengangkat agenda merakyatkan kepimpinan dan perpaduan dapat dibawa ke fasa yang berbeza.
"Bagi saya, dalam konteks 100 hari pertama suka dipacu dengan beberapa nilai walaupun kita berbeza dari sudut agama, etnik dan kepercayaan, sekalipun kita mampu untuk melihat titik persamaan dan mengasingkan perbezaan.
"Perbezaan itu tidak lagi dilihat sebagai satu liabiliti tetapi diubah kepada penerapan dan diangkat sebagai satu konsep yang berteraskan kepada satu agenda rakyat,” katanya dalam Wacana Sinar Harian Edisi ke-310 bertajuk 'Keluarga Malaysia: Aspirasi Rakyat Malaysia' yang disiarkan secara langsung menerusi plaforam Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panel ialah pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz; Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, manakala Ally Iskandar bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, berikutan sudah pasti akan ada yang melihat titik penghalang, maka mereka perlu mencari persamaan untuk menyekat perbezaan yang akan dibawa menerusi perbincangan dan musyawarah.
Selain itu, katanya, konsep Keluarga Malaysia sudah pasti ada nilai tambah untuk memastikan ia mempengaruhi pemikiran dan mengurus persepsi politik.
"Sebenarnya kita harus melihat konsep itu bersifat menyeluruh sebab itu yang cuba diketengahkan Perdana Menteri adalah memimpin melalui teladan.
"Bagaimana kementerian yang lain walaupun ada 31 menteri dan 38 timbalan menteri, masing adalah pasukan Ismail Sabri. Mereka tidak boleh dilihat berada dalam pasukan politik kepartian yang berbeza.
"Ini kerana mereka berada dalam satu kabinet sama yang ada sifat kolektif dan perlu ada konsensus tersendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, konteks persamaan itu sudah pasti perlu dilihat menerusi pemantauan dan penilaian serta secara berterusan penambahbaikan dilakukan supaya konsep itu tidak terpinggir sehingga dianggap sebagai elemen politik.
"Ia harus dilihat usaha secara berterusan untuk mendekati rakyat dan mendepani cabaran yang perlu dihadapi oleh rakyat, bagaimana melihat pelaksanaan akhir, apa sahaja program aktiviti bertujuan untuk memastikan yang mendapat manfaat adalah rakyat.
"Bagi saya, bagaimana usaha secara berterusan berlaku walaupun akan ada pihak merasakan mengapa perlu bertolak ansur, berkompromi, berkorban tetapi sebenarnya ia untuk membolehkan rakyat melihat kematangan politik sebenarnya,” kata beliau.