SELANGAU - Atas faktor keselamatan, Andrewson Ngalai Ason, 61, memasang impian untuk menaik taraf rumah panjang yang didiami semenjak 30 tahun lepas kepada konsep yang lebih moden.
Menyedari bukan mudah untuk berbuat demikian kerana perlu mendapat persetujuan semua 200 keluarga dari 28 pintu yang turut mendiami rumah panjang itu, beliau segera mengadakan perbincangan.
Dalam perbincangan pada tahun 2009, beliau yang merupakan Tuai Rumah Panjang Andrewson Ngalai ketika itu sebelum dilantik menjadi Penghulu pada tahun 2016, berusaha menyakinkan penghuni mengapa perubahan perlu dibuat ke atas rumah panjang mereka yang terletak di kawasan Sekuau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin.
"Satu masalah dihadapi kami di rumah panjang yang lama ialah ia berada dalam keadaan kurang selamat didiami kerana kayu yang dijadikan sebagai struktur binaan mulai reput.
"Jadi saya bimbang soal keselamatan ditambah pula memikirkan risiko apabila berlaku kebakaran kerana bahan binaan kayu ini mudah menyebabkan api merebak,” katanya kepada Bernama sambil menambah atas faktor itu, beliau bertegas mahukan rumah panjang mereka dinaik taraf.
Mujurlah hasil kesepakatan penduduk, Rumah Panjang Andrewson Ngalai yang berwajah baharu akhirnya berjaya dibina berasaskan batu konkrit dan berkonsep moden pada tahun 2010 serta siap pada tahun 2013. Pembinaannya menggunakan dana penduduk sendiri.
Pembinaan rumah panjang baharu itu turut mendapat bantuan bahan binaan seperti atap dan simen yang disalurkan menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Andrewson berkata, menerusi program itu, bahan terbabit akan dihantar terus ke tapak rumah panjang untuk membolehkan penduduknya bergotong-royong menyiapkan pembinaan.
PPRMS merupakan antara inisiatif kerajaan negeri Sarawak bagi membantu penduduk memiliki kediaman yang selesa dan selamat dengan menyediakan peruntukan RM1 juta setiap tahun kepada wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membolehkan mereka melakukan penambahbaikan ke atas rumah persendirian atau rumah panjang di kawasan masing-masing.
"Hari ini, selepas lebih enam tahun mendiami rumah panjang baharu, saya tidak lagi berasa gusar tentang keselamatan penduduk kerana struktur binaan rumah sudah kukuh hinggakan kami berhasrat menjadikan rumah panjang ini sebagai inap desa bagi menarik pelancong,” kata Andrewson.
Tinjauan ke ruangan media sosial Facebook dan beberapa blog, ramai warganet berkongsi perasaan kagum selepas melihat struktur binaan rumah panjang itu yang tidak ubah seperti seni bina rumah teres moden di bandar.
Antaranya ialah Nelson Ganya yang menyifatkan Rumah Panjang Andrewson Ngalai adalah bukti berlaku revolusi dalam cara hidup masyarakat Iban.
"Orang Iban kini bukan calang-calang. Bak kata orang kita (Sarawak) nang kacak (memang cantik),” katanya merujuk kepada gambar rumah panjang itu yang dikongsi oleh pengguna Facebook.
Calon GPS Christopher Gira Sambang, penyandang DUN Tamin sejak tahun 2016 berkata, terdapat lebih 400 rumah panjang di kawasan itu yang telah berusia lebih 30 tahun dan berada dalam keadaan kurang selamat namun telah dibaik pulih secara berperingkat menerusi inisiatif PPRMS.
Antaranya ialah Rumah Panjang Saba Danggang dan Rumah Panjang Clement Jakoi di Sekuau, yang masing-masing memiliki 22 dan 36 pintu, Rumah Panjang Sebeli Kerangan Pelaga (18 pintu) dan Rumah Panjang Jinggang (24) di Ulu Mukah, Rumah Panjang Sigan Lei (18) dan Rumah Panjang Bala (40) di Sepiring, Balingian, Rumah Panjang Bajing (25) di Sungai Anus serta Rumah Panjang Lawang di Sungai Melinau.
"Dalam perancangan mendatang, usaha menaik taraf rumah panjang akan diperhebat dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada 1,000 isi rumah. Komitmen ini sudah dibuktikan kerana dalam manifesto GPS untuk pilihan raya kali ini telah dinyatakan lebih banyak bantuan pembinaan dan balik pulih rumah panjang akan disediakan,” katanya ketika dihubungi.
Perebutan kerusi DUN Tamin yang mempunyai 14,948 pengundi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini bakal menyaksikan saingan antara Gira dan Joseph Entulu Belaun daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pada PRN11, Gira meraih majoriti 2,085 undi untuk menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Simon Joseph dan calon Bebas, Dr Ali Puji. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my