Konsep Keluarga Malaysia satu kesinambungan

Iklan
Mohd Izani. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Konsep Keluarga Malaysia merupakan kesinambungan dan perlu dilihat sebagai satu cabaran baharu kepada kerajaan untuk mencapai perpaduan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, perpaduan merupakan satu matlamat akhir yang perlu dicari titik persamaan terutama dari segi nilai kekeluargaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia itu mempunyai tiga aspek iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang boleh membawa kepada titik persamaan.

"Saya melihat kepada panggilan perpaduan ini proses yang sangat panjang. Walaupun kita sudah merdeka proses ke arah perpaduan itu perlu diteruskan semasa ke semasa.

Iklan

"Rakyat atau Keluarga Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum ini sebenarnya keluarga. bukanlah orang lain, retorik atau perkara baharu yang ingin dibawa kerajaan.

"Konsep ini bergantung kepada rakyat untuk mereka menjiwai. Kerajaan sudah melaksanakan satu gagasan cuma untuk memastikan konsep ini, rakyat mesti juga terlibat untuk memahami.

Iklan

"Jadi di situlah kita mahu rapatkan jurang kalau rakyat membaca Keluarga Malaysia. Tetapi saya nampak peranan pemimpin dan kerajaan sangat penting rakyat,” katanya dalam Wacana Sinar Harian edisi ke-310 bertajuk 'Keluarga Malaysia: Aspirasi Rakyat Malaysia' yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis ialah pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz; penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, manakala Ally Iskandar bertindak sebagai moderator.

Wacana Sinar Harian edisi ke-310 bertajuk 'Keluarga Malaysia: Aspirasi Rakyat Malaysia' yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Khamis. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sementara itu, Mohd Izani berkata, kejayaan atau suri teladan Keluarga Malaysia bukan hanya terletak kepada Perdana Menteri sahaja tetapi jemaah menteri dan pemimpin.

Menurut beliau, pemimpin sewajarnya dicontohi dengan adanya nilai murni, kebijaksanaan untuk menjadi tauladan dan ikutan.

"Sekiranya pemimpin itu menunjukkan teladan yang baik, rakyat akan mudah terpaut dengan personaliti dan pendekatan yang sederhana.

"Jadi bagaimana personaliti Perdana Menteri disenangi, ia juga perlu dikongsi dengan jemaah menteri khususnya,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap peringkat pimpinan perlu mempunyai semangat kekitaan dan kebersamaan supaya konsep Keluarga Malaysia dapat disampaikan kepada rakyat.

"Kita tahu apabila bercakap tentang pemimpin pertengahan di bawah ini, mereka mempunyai personaliti berbeza. Sudah tentu ada keinginan dan hala tuju mereka sendiri.

"Apabila kita lihat strata pemimpin dalam masyarakat, satu aspek yang saya suka melihat ialah pemimpin tempatan (setempat) kerana mereka ini lebih dekat dengan masyarakat.

"Pemimpin tempatan yang berada di kampung dan daerah seperti penghulu, mereka ini yang sebenarnya boleh mempengaruhi masyarakat berdekatan kerana paling dekat.

"Jadi pemimpin tempatan ini perlu ada sifat kebersamaan Paling penting memahami konsep Keluarga Malaysia,” jelas beliau.

Tambah beliau, kepimpinan tempatan sepatutnya diperkasakan supaya komuniti masyarakat boleh menjadikan mereka sebagai satu sumber inspirasi dan akhirnya nilai dalam Keluarga Malaysia dapat dihayati untuk jangka masa panjang.