Jangan percaya tawaran pinjaman mudah

Iklan
Shafien (depan, dua dari kiri) bersama pemimpin setempat dan Ahli Jawatankuasa Masjid Ar Rahman Mukim Kubang Batang, Tumpat selepas solat Jumaat.

TUMPAT - Polis Kelantan menasihatkan rakyat negeri ini untuk tidak percaya dengan tawaran pinjaman mudah daripada individu yang tidak dikenali.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ini kerana antara faktor peningkatan kes penipuan 'scammer' di negeri ini adalah kerana mudah percaya dengan tawaran pinjaman seumpama itu.

Iklan
Iklan

"Apa yang kita dapat lihat peningkatan kes penipuan scammer ini melibatkan mereka yang mohon pinjaman tidak wujud.

"Kemungkinan besar rakyat kita terdesak dan sebagainya sehingga mudah untuk membuat permohonan dan sekali gus ditipu,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau sebelum itu meluangkan masa mendirikan solat Jumaat dan menyampaikan bakul makanan kepada masyarakat setempat di Masjid Ar Rahman, Mukim Kubang Batang, di sini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, masyarakat perlu lebih berhati-hati dengan pelbagai tipu helah yang dirancang bagi memastikan penipuan tersebut berjaya tanpa disedari mangsa.

Iklan

Malah katanya, sekiranya wujud keperluan untuk meminjam, masyarakat dinasihatkan untuk membuat permohonan dan perbincangan dengan agensi perbankan yang sah.

"Jika ada keperluan untuk meminjam, pergilah kepada institusi perbankan yang sedia ada. Jangan hanya menggunakan telefon semata-mata, kita perlu semak dulu ketelusan dan ketepatan maklumat yang ada,” katanya.