KUALA LUMPUR - Orde antarabangsa baharu pasca pandemik yang dikuasai negara kuasa-kuasa besar serta syarikat teknologi dan farmasi gergasi perlu dielakkan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, meskipun pandemik Covid-19 mendedahkan beberapa kelemahan dan kepincangan dalam masyarakat global kini, ia juga memperlihatkan norma baharu yang tidak adil.
"WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) kini menjadi Majlis Keselamatan PBB yang baharu. Negara pengeluar vaksin menjadi kuasa besar baharu. Syarikat farmaseutikal gergasi menjadi Wall Street baharu,” katanya ketika menyampaikan ucapannya bertema 'Mengatasi Ketidaksamaan’ di Forum Demokrasi Bali ke-14 yang diadakan secara maya di sini pada Khamis.
Beliau berkata, ekonomi yang sangat tertumpu memperkayakan segelintir pihak hingga merugikan perniagaan yang lebih kecil telah muncul.
Pada masa sama, katanya, beberapa negara seperti Malaysia masih bergelut untuk mengimbangi kehidupan dan sumber pendapatan serta mencari jalan untuk pemulihan ekonomi.
"Kami juga menghadapi banyak masalah apabila ia melibatkan pembangunan kewangan, perdagangan dan ekonomi antarabangsa. Kita mesti mengelak sama sekali demokrasi yang ‘mengabaikan’, ‘menyukarkan’ dan ‘memaksa’ rakyat,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, negara perlu mengambil pendekatan pelbagai disiplin yang menyeluruh dan bersepadu yang memfokuskan kepada rakyat dalam proses pemulihan dan pembangunan negara.
Beliau menambah, untuk sesebuah negara maju, seluruh spektrum masyarakat, termasuk negeri, perniagaan dan masyarakat awam perlu turut diambil kira dalam perbincangan dan perundingan serta membuat keputusan mengenai pembangunan negara.
Kesimpulannya, kata beliau;"Apa yang diperlukan bukanlah satu lagi kaedah baharu ketidaksamaan. Apa yang benar-benar diperlukan ialah keseimbangan kemanusiaan dan demokrasi yang bertanggungjawab”. - Bernama