SHAH ALAM - Kerajaan yang berniat baik, namun tidak mengambil kira pandangan rakyat dalam membuat dasar tidak dikira sebagai kerajaan berwibawa.
Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Suffian Hamdan mendakwa sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerajaan dilihat melaksanakan dasar.
"Kerajaan amat degil dan angkuh dalam pelaksanaan dasar negara yang dibuat tanpa perbincangan penuh malah tiada analisa akar umbi. Mereka seakan-akan sanggup meredah apa juga perkara untuk melaksanakan dasar-dasarnya.
"Baik dari sekecil-kecil perkara seperti larangan merokok kepada sebesar-besar perkara seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) atau pengurangan bantuan kepada B40, kerajaan perlu cakna kepada keperluan dan sentimen masyarakat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Semalam, ketika merasmikan Penggal ke-dua Parlimen ke-14, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pemimpin negara perlu mendengar dan mengambil kira tuntutan rakyat semasa merangka sebarang dasar dan program untuk mereka.
Baginda bertitah, ini kerana rakyat kini mahukan sebuah kerajaan bertanggungjawab yang mendengar pandangan dan aspirasi mereka.
Sementara itu, Shahril Suffian berkata, dari sudut pembangkang, pandangan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan meskipun telah berjaya meraih sokongan rakyat.
"Pembangkang sentiasa terus merendah diri dan mengakari tuntutan rakyat supaya tidak dibuai keangkuhan meskipun gelombang pengundi dilihat bersama pembangkang hari ini.
"Mereka mahu melihat pembangkang berkualiti yang punyai idea dasar dan visi negara yang boleh dihakimi oleh rakyat sendiri," katanya.