ASAJAYA - Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya diminta supaya memberi ruang dan peluang kepada pemimpin muda calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengubah nasib rakyat di kawasan itu.
Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, calon PKR bagi DUN Asajaya iaitu Mahmud Epah adalah calon muda yang diketengahkan oleh parti merangkap anak jati di kawasan tersebut.
Katanya, Mahmud membesar di Asajaya dan sudah tentu beliau memahami serta mengetahui cara kehidupan serta masalah yang dihadapi penduduk.
"Besar harapan kami supaya penduduk Asajaya dapat memberi peluang kepada beliau (Mahmud) supaya dapat membantu memperbaiki keadaan serta pembangunan di sini," katanya ketika ditemui pemberita di pekan Asajaya, di sini pada Jumaat.
Ketika ditanya berhubung tindakan penyandang DUN Krian, Datuk Ali Biju menarik diri sebagai calon Bebas bagi DUN tersebut baru-baru ini, Wan Azizah berpendapat bahawa ia merupakan hak peribadi beliau.
Bagaimanapun, beliau agak terkesan apabila Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli terbabit mengambil keputusan untuk keluar parti daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bagi membentuk blok bebas di Parlimen.
"Saya kecewa dengan keputusan tersebut kerana semasa susah kami bersama, apabila senang ditinggalkan,” ujarnya.
Sementara itu, calon PKR Asajaya, Mahmud Epah berkata, kemudahan jalan raya di Asajaya dilihat sangat kritikal sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan kepada pengguna di laluan tersebut.
Katanya, Asajaya tidak mendapat keadilan yang sama rata dari segi peruntukan seperti kemudahan pembangunan yang ada di Samarahan dan Kuching.
"Dalam pada itu, di sini (Asajaya) juga tidak disediakan lampu jalan selain jalan raya juga tidak dibaiki dengan elok sehingga membahayakan nyawa pengguna.
"Aduan kerosakan jalan ini perlu diselesaikan segera dan sekiranya saya diberi peluang, Insya-ALLAH saya akan perbaiki jalan tersebut dengan segera," katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my