SHAH ALAM -"Keyakinan pekerja bahawa sumber pendapatan datang daripada majikan adalah satu pemikiran yang salah,” Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Ujar beliau, pegangan akidah masyarakat perlu diperkukuhkan supaya mereka percaya bahawa rezeki datang daripada ALLAH SWT.
"Betul kalau tak makan memang masalah, tetapi kita kena sedarkan diri kita semua rezeki itu daripada ALLAH. Itu kena percaya barulah kita kuat. Kalau tidak, kita jadi takut.
"Akidah itu sangat penting kerana orang pada hari ini tidak kisah sangat akidah. Ini sangat bahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis untuk program 'Kompas On The Go: Angkara Rasuah Bisnes Tidak Berkat' yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Program berkenaan menampilkan Pengarah Global CX Sdn Bhd, Amirul Ikman Norden, manakala Norden Mohamed bertindak selaku moderator.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, masyarakat digalakkan supaya berbalik kepada kempen mengukuhkan akidah supaya kuat untuk melawan godaan rasuah.
"Sebab hendak melawan rasuah ini, kita kena kuat dan percaya. Kalau makan barang tidak baik, maka kita dapat barang yang tidak baik. Kalau kita banyak duit sekalipun, tetapi duit itu tidak berkat, maka ia tidak bererti.
"Kalau duit sikit, tetapi berkat, ia lebih daripada mencukupi,” ujar beliau.