TOP Glove Corporation Bhd menjangkakan jumlah jualan bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 28 Februari 2022, akan melonjak kira-kira 10 peratus berbanding suku pertama susulan peningkatan permintaan.
Pengarah Urusan, Datuk Lee Kim Meow berkata, jualan ke Amerika Syarikat (AS) dijangka menokok secara beransur-ansur selepas kumpulan itu berhasil mencapai tahap eksport sebelum ini.
Sejak 10 September lepas, Perlindungan Sempadan dan Kastam AS telah menarik balik larangan import ke atas produk kumpulan itu.
"Kami telah melihat peningkatan dalam pesanan mingguan sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Dengan itu, daripada segi jualan bagi suku kedua, kami meramalkan jumlah dagangan yang lebih kukuh," katanya semasa taklimat media maya mengenai prestasi kewangan kumpulan bagi suku pertama berakhir 31 November 2021 pada Jumaat.
Permintaan juga mungkin didorong oleh kebimbangan mengenai penyebaran varian Omicron, yang sedang dipantau rapat oleh pembeli yang sedang mempertimbangkan keputusan untuk menambah stok sarung tangan.
"Kami belum melihat kesan penuh terhadap bagaimana ia merebak di seluruh dunia. Banyak pelanggan kami pada dasarnya berada dalam keadaan berjaga-jaga dan saya percaya sebahagian daripada mereka juga mungkin menambah stok,” kata Lee, dengan menyatakan pesanan terbesar datang dari Timur Tengah untuk kegunaan perubatan.
Hari ini, pembuat sarung tangan itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM185.72 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 berbanding RM2.36 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya manakala hasil jatuh 67 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.58 bilion.
Kim Meow berkata, jumlah jualan adalah"rata" berbanding suku sebelumnya ketika ia mula mendekati ke tahap sebelum Covid-19.
Beliau mengaitkan jumlah yang lebih rendah ini kepada persaingan serta bekalan oleh pengembangan pemain sedia ada termasuk penyertaan pemain baharu, khususnya dari China.
"Pada bulan-bulan sebelumnya, beberapa pelanggan kami membeli sarung tangan dari China tetapi dengan hubungan mantap kami dengan pelanggan, struktur kos yang baik... kami mampu berdaya saing dan menawan mereka semula,” tambahnya.
Kim Meow berkata, Top Glove menjangkakan persekitaran perniagaan akan mencabar dalam jangka masa terdekat, memandangkan persaingan terus menyengit di tengah-tengah permintaan sarung tangan yang sederhana.
"Bagaimanapun, syarikat kekal optimistik terhadap prospek industrinya berdasarkan kepada permintaan global terhadap sarung tangan sebagai barangan penting akan terus berkembang pada kadar lebih daripada 10 peratus setahun walaupun selepas pandemik mereda," katanya.
Menurut beliau lagi, ketika dunia mula menyesuaikan diri dengan pandemik semasa dan memantau kemunculan varian Covid-19 yang baharu, permintaan sarung tangan diramalkan akan mengukuh, sekali gus mengimbangi pertumbuhan dalam bekalan dan penggunaan sarung tangan dalam sektor perubatan di negara-negara membangun terus melonjak.
"Walaupun kami telah memasuki tempoh yang mencabar dan kompetitif dalam industri sarung tangan, kami tidak terjejas. Kami tidak boleh mengawal cabaran tetapi boleh menguruskannya dengan memberi tumpuan kepada faktor dalaman.
"Untuk tujuan ini, kami akan terus meningkatkan kualiti serta kecekapan kami melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), program peningkatan termasuk penggunaan teknologi canggih, sambil mengotakan komitmen kami terhadap kemampanan," kata Kim Meow.
"Yang paling penting, kami akan memastikan asas kami kukuh dengan kekal positif daripada segi mental, fizikal serta kewangan, yang akan membolehkan kami mengharungi masa-masa sukar, berbuat lebih baik dan muncul dengan perkasa," katanya. - Bernama