54 tan keratan ayam sejuk beku dari Thailand dirampas

Iklan
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia

PUTRAJAYA - Sejumlah 13,281 ekor ayam hidup dan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk dari Thailand dirampas di Kelantan sejak Januari hingga November tahun ini.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya telah menahan kemasukan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku bernilai RM768,000 itu kerana gagal mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurut Maqis, kesemua ayam hidup bernilai kira-kira RM100,000 pula dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin ketika cuba dibawa masuk melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok.

"Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis.

Iklan

"Di bawah Seksyen 11(3) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Menurut Maqis, pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan yang lain akan terus komited dan mengambil langkah serius dalam mempertingkat kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.

Iklan

Ini bagi memastikan isu melibatkan kawalan penyakit, keselamatan makanan, pengiktirafan halal dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara ini dapat dibendung serta dikawal. - Bernama