PATTANI - Rundingan damai selatan Thailand yang tergendala akibat pandemik Covid-19 akan diadakan secara bersemuka di Kuala Lumpur pada bulan depan.
Rundingan antara wakil kerajaan Thailand - ketua perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) hanya diadakan secara maya sepanjang tempoh pandemik.
"Rundingan secara bersemuka tergendala apabila sempadan Thailand dan Malaysia ditutup akibat pandemik Covid-19.
"Dengan situasi Covid-19 semakin pulih, saya dan delegasi akan menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur,” katanya.
Wanlop berkata, beliau sendiri turun padang mendengar cadangan dan maklum balas akar umbi termasuk daripada pihak berkepentingan, pertubuhan bukan kerajaan dan civil society organisations (CSO).
"Cadangan ini akan dibawa ke meja rundingan akan datang,” katanya.
Wanlop berkata, Thailand akan mencari penyelesaian secara damai dan berkekalan untuk menamatkan konflik selama beberapa dekad di wilayah bergolak di selatan.
Sebelum ini, rundingan damai antara BRN dan Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan awal Mac 2020 yang membawa harapan baharu untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand.
Delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.
Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator.
Kitaran keganasan tanpa henti di selatan Thailand bermula pada tahun 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla yang sehingga kini mengorbankan 7,000 nyawa. - Bernama