KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia telah dianugerahkan Bursa Terbaik tahun ini oleh Anugerah Kecemerlangan Regulation Asia ke-4 2021 melalui satu majlis dalam talian pada 9 Disember lepas.
Regulation Asia, sumber utama untuk maklumat pengawalseliaan bagi pasaran Asia Pasifik berkata, anugerah itu diiktiraf oleh institusi kewangan, syarikat teknologi, firma undang-undang serta perundingan, bursa dan pemain lain yang membantu memastikan standard tertinggi untuk pematuhan peraturan yang ditegakkan dalam industri kewangan.
Dalam satu kenyataan, Regulation Asia berkata, Bursa Malaysia dengan cepat telah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di tengah-tengah pandemik semasa.
Bursa itu telah menyediakan pengecualian yuran untuk pemohon penyenaraian serta memperluaskan titik sentuh digitalnya bagi memastikan pasaran dapat diakses semasa sekatan pergerakan, sambil melaksanakan alat pengawasan masa nyata untuk mengurangkan risiko dalam peningkatan urus niaga Internet dan penggunaan membuat keputusan berasaskan data digital, katanya.
"Selain daripada tindak balas pandemiknya yang mantap, Bursa Malaysia telah menangani keperluan pelabur dengan menghendaki syarikat tersenarai membuat pendedahan berkaitan kemampanan dalam laporan tahunan mereka, memperluaskan portfolio persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Indeks Syariah.
"Ia turut menggalakkan pendidikan pasaran mengenai kemampanan dan pelaburan ESG. Ia juga sedang berusaha dalam meningkatkan amalan pelaporan kemampanan di samping mewujudkan pasaran karbon sukarela yang patuh syariah termasuk platform perdagangan bagi menyokong peralihan Malaysia kepada pencemaran sifar," kata Regulation Asia.
Pengasas Bersama Regulation Asia, Brad Maclean berkata, Bursa Malaysia juga merancang untuk menjadi neutral karbon pada 2022 dan mencapai pelepasan bersih sifar menjelang 2050, menunjukkan kepimpinan tindakan iklimnya.
"Di samping inisiatif ESG, Bursa Malaysia telah mewujudkan perkongsian strategik dengan bursa lain, mengadakan persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan memanfaatkan teknologi baharu serta baru muncul seperti rantaian blok bagi meningkatkan operasi dan prosesnya, yang akan mendorong pertumbuhannya yang sedia pantas," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kemenangan Bursa Malaysia sebagai Bursa Terbaik tahun ini adalah pengiktirafan terhadap usaha serta inisiatif dan juga kredit kepada seluruh pasukan di Bursa Malaysia.
"Walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik global, Bursa Malaysia menonjolkan prestasi dalam bidang pelaburan Islam, niaga hadapan minyak sawit dan kelestarian.
"Anugerah ini akan memacu kami ke tahap yang lebih tinggi kerana kami terus meluaskan jangkauan dan penawaran sambil mengekalkan pasaran yang adil serta untuk semua peserta berkembang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Bursa Malaysia juga telah memenangi anugerah Projek Cemerlang bagi platform"Bursa Anywhere" pada majlis yang sama.
Aplikasi mudah alih Bursa Anywhere telah dilancarkan pada Jun 2019 untuk menyediakan pelabur dengan akses yang lebih mudah kepada maklumat portfolio dan pelaburan serta perkhidmatan depositori elektronik.
Aplikasi ini menawarkan pelabur akses langsung ke akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) mereka, memaparkan sekuriti yang mereka miliki pada nilai pasaran di samping memberikan pemberitahuan tepat pada masanya mengenai pengumuman korporat termasuk penyata bulanan, kata Regulation Asia. - Bernama