HARI kedua Konvoi #RasuahBusters terus menggegarkan Selangor apabila puluhan kenderaan yang menyertai jelajah memulakan perjalanan dari bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di Shah Alam pada Jumaat.
Para peserta konvoi dilepaskan oleh Exco Hal Ehwal Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Antara jentera yang menyertai hari kedua konvoi ialah kenderaan Rasuah Busters, lori Allianz Explorer yang lengkap dengan TV LED, motosikal berkuasa tinggi, trak khas dan tidak ketinggalan kereta rakan media Sinar Harian, radio Era dan radio Sinar.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi yang memuji penganjuran jelajah itu berkata, kesungguhan pasukan Rasuah Busters yang disokong oleh lebih 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah sangat luar biasa dalam melawan rasuah.
Katanya, program-program Rasuah Busters adalah tepat pada masanya kerana nilai amalan rasuah di negara ini seakan-akan sudah dinormakan oleh masyarakat sehingga menjadikan perbuatan keji itu dianggap perkara biasa tanpa rasa segan silu.
Katanya, ruang dan kesempatan yang ada di depan mata digunakan untuk mendapatkan rasuah, sekali gus menyalah guna kuasa yang ada.
"Istilah orang lain boleh buat, kenapa aku perlu malu untuk buat menjadi satu pegangan dalam masyarakat.
"Maka gerakan massa seperti apa yang dilakukan oleh pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan bukan sahaja berani dan luar biasa malah tepat pada waktunya untuk menyedarkan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya sebelum melepaskan peserta Konvoi #RasuahBusters di pekarangan Pejabat SUK Selangor pada Jumaat.
Sebaik dilepaskan, peserta konvoi yang turut diiringi pasukan Polis Selangor kemudian menuju ke Malakat Mall di Cyberjaya.
Selain mendekati pengunjung di kompleks beli-belah itu, pasukan Rasuah Busters turut menganjurkan program bual bicara khas iaitu Kompas On The Go di Malakat Mall.
Bual bicara yang bertajuk ‘Angkara Rasuah Bisnes Tidak Berkat’ itu menampilkan dua panel iaitu Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengarah Global CX Sdn Bhd, Amirul Ikman Norden.
Sebaik selesai program di Malakat Mall, peserta konvoi kemudian menuju ke satu lagi destinasi terkenal di Selangor iaitu Kompleks Sate Kajang Haji Samuri.
Program singgah santun di Kompleks Sate Kajang Haji Samuri itu membolehkan peserta Konvoi #RasuahBusters mendekati segenap lapisan masyarakat di Kajang untuk menyebarkan mesej antirasuah.