MB merafak sembah tahniah kepada Sultan Selangor

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto ihsan Royal Selangor Office

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merafak sembah dan mengucapkan tahniah sempena Hari Keputeraan ke-76 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam satu kenyataan, Amirudin berkata, beliau mewakili rakyat jelata, kepimpinan serta barisan penjawat awam kerajaan negeri Selangor mendoakan baginda dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat serta maghfirat ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

"Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberi izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan baginda.

"Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.

Iklan

"Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT untuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda Tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah serta senantiasa dalam perlindungan ALLAH SWT," katanya dalam kenyataan tersebut pada Sabtu.

Amirudin berkata, keprihatinan baginda terhadap kebajikan rakyat jelata sentiasa menjadi inspirasi buat beliau dan seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan rakyat dan negeri.

Iklan

"Saya turut mendoakan semoga Tuanku diberikan kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal karar bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan," katanya.