Pesta Bola Ngoca jadi acara tahunan Negeri Sembilan

Iklan
Pesta Bola Ngoca bakal dijadikan sebagai acara tahunan di Negeri Sembilan.

KUALA PILAH - Pesta Bola Ngoca bakal dijadikan sebagai acara tahunan di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penganjuran sukan itu bukan sahaja dapat mengembalikan tradisi sukan rakyat tetapi boleh menjadi tarikan pelancong.

Iklan
Iklan

"Ngoca yang membawa maksud menangkap ikan dengan menggunakan peralatan seperti jala dan lain lain telah menjadi satu simbolik aktiviti yang mengimbau nostalgia bagi rakyat di negeri ini.

"Ia diikuti aktiviti sukan yang digemari ramai iaitu bola sepak. Maka terhasil program pesta bola ngoca yang diunikkan dengan lokasi aktiviti di petak sawah," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Bola Ngoca di Stadium Bola Ngoca di Perkampungan Budaya Terachi di sini, pada Sabtu.

Iklan

Katanya, kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf blok B Kampung Budaya Terachi akan dilaksanakan tahun hadapan dengan peruntukan RM 3 juta daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

Ujar beliau, dengan adanya projek itu, kawasan terbabit akan menjadi tumpuan pelancong sekali gus dapat merancakkan lagi ekonomi tempatan.

Iklan
Pasukan Aminuddin(berbaju biru) menentang pasukan selebriti.

"Stadium bola ngoca ini pula dibina dengan peruntukan sejumlah RM840,000 bagi menaik taraf dan menyediakan kemudahan tempat mandi kepada pengunjung yang hadir.

"Tapak sawah dengan keluasan lima ekar yang meliputi lapan petak sawah dijadikan medan pertandingan dan ia merupakan stadium bola sepak sawah yang pertama dan satu-satunya di negara ini," katanya.

Menurut beliau, keadaan itu menjadikan Kuala Pilah sebagai perintis utama dalam menceburi bidang sukan unik yang tidak ada di negeri-negeri lain.

Berkenaan acara pesta bola ngoca berkenaan, Aminuddin berkata, dalam tempoh dua hari penganjurannya bermula pada Sabtu, beliau menjangkakan kehadiran 10,000 pengunjung.

"Terdapat 128 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bola sepak sawah datang dari pelbagai negeri yang akan bertanding dalam edisi kali ini.

"Jumlah ini merupakan penyertaan paling besar berbanding edisi pertama pada tahun 2019," katanya.

Dalam pada itu Aminuddin dan pasukannya dibarisi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Razali Ab Malik dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap sempat turun ke gelanggang sawah untuk menentang pasukan selebriti antaranya Roy Azman, Zul Huzaimi dan Luqman Hafidz.

Antara acara lain dipertandingkan ialah ngoca ikan, memanjat tiang licin, menangkap itik, gusti bantal dan basikal titi.