SKUAD angkat berat kebangsaan terus menyinar apabila giliran Muhammad Erry Hidayat pula merangkul pingat perak di Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan pada malam Jumaat.
Bersaing dalam kategori 73 kilogram (kg), Muhammad Erry melakukan angkatan 136kg bagi acara ‘snatch’ dan 165kg untuk ‘clean and jerk’ dengan keseluruhan angkatan seberat 301kg.
Pingat emas menjadi milik atlet India Achinta Sheuli yang sekali gus layak secara automatik ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom, manakala Mudiyanselage Indika Chathur Dissanayake dari Sri Lanka membawa pulang gangsa.
Kejohanan tersebut bersekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 itu turut menyaksikan atlet berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu berada di tempat ke-12, dengan atlet Indonesia Erwin Abdullah meraih emas, manakala Briken Calja dari Albania meraih perak dan gangsa menjadi milik Suttipong Jeeram dari Thailand.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Ayub Rahmat dalam kenyataan berkata, atlet kebangsaan yang belum meraih tempat ke temasya di Birmingham dijangka menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel di Singapura tahun depan.
Muhammad Erry pernah melakar sejarah apabila merangkul emas acara 69kg lelaki dengan jumlah angkatan keseluruhan 255kg pada Kejohanan Komanwel Belia di Apia, Samoa pada September 2015.
Sebelum ini, dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin meraih emas kategori 61kg pada Jumaat, serta Mohamad Aniq Kasdan yang menggungguli kategori 55kg pada Selasa lepas telah menempah slot ke Sukan Komanwel Birmingham pada kejohanan di Uzbekistan itu.
Kejohanan bermula pada 7 Disember itu akan berakhir pada 17 Disember ini. - Bernama