Agong, Raja Permaisuri rasmi Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis YASA Pekan, di sini pada Sabtu.

PEKAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Pekan, pada Sabtu.

Pusat Hemodialisis YASA Pekan merupakan pusat rawatan yang ketiga ditubuhkan yayasan itu selepas pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang pertama di Cheras dan kedua di Setiawangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Pusat Hemodialisis YASA Pekan memiliki 12 mesin dialisis dan mampu mengendalikan lebih 100 rawatan setiap minggu.

Menurutnya, seramai 48 orang pesakit yang merupakan komuniti setempat menjalani rawatan di pusat itu.

Iklan

"Sebagai sebuah organisasi kebajikan yang tidak berorientasikan keuntungan, pusat-pusat hemodialisis di bawah YASA ini menerima pesakit kurang berkemampuan di bawah tajaan YASA dan pihak lain.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertanya khabar pesakit yang menjalani rawatan selepas berkenan mencemar duli berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis YASA Pekan, di sini pada Sabtu.

"Penubuhan pusat-pusat hemodialisis ini bukti keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda berdua terhadap pesakit-pesakit buah pinggang kronik dan keperluan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ahmad Fadil berkata, ia juga sebagai menyahut seruan dan membantu kerajaan kerana pesakit yang memerlukan rawatan begitu ramai dengan kes baharu mencecah 8,000 kes setahun.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi penghargaan kepada Pentadbir Harta Pusaka Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas sumbangan bangunan bagi tujuan penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Pekan.

"Penghargaan turut dizahirkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip),agensi kerajaan dan para penyumbang dalam menjayakan inisiatif penubuhan pusat hemodialisis itu," katanya.

Selepas majlis perasmian, Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan pesakit-pesakit yang menjalani rawatan di pusat itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta Tengku Hassanal bertanya khabar pesakit yang menjalani rawatan selepas berkenan mencemar duli berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis YASA Pekan, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda berdua menyeru lebih banyak pihak termasuk swasta untuk tampil membantu golongan sasar itu mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan.

Berangkat sama ke Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis YASA Pekan, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua kira-kira jam 11 pagi disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.