‘Ada juga pusara jika rindu’

Iklan
Pulau buatan lokasi Nurul Jannah terjelus dan hilang. Gambar kecil Nurul Jannah

PONTIAN -"Esok (hari ini) sepatutnya adalah hari terakhir Jannah duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) bagi subjek yang sangat dia minat iaitu Sastera,” kata Sabariah Labachok@ Abd Rahman 42.

Ibu kepada Nurul Jannah Zainal, 17, yang ditemui lemas pada pagi Sabtu lalu berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiga dari lima beradik itu.

Iklan
Iklan

"Selepas enam hari menunggu, saya lega akhirnya anak saya ditemui walaupun dah tidak lagi bernyawa.

"Saya bersyukur kerana mayatnya ditemui. Sekurang-kurangnya ada pusara untuk saya lawat anak saya bila timbul rasa rindu,” katanya.

Iklan

Sabariah berkata, selepas mendapat tahu mengenai kejadian anaknya terjerlus dalam air di pulau buatan dekat perairan Tanjung Piai pada pagi 26 November lalu, hatinya cukup risau namun dia tidak pernah putus berdoa agar anaknya ditemui.

Menurutnya, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut ada menunjukkan perubahan tingkat laku menjadi sangat pendiam selepas pulang dari asrama.

Iklan

Katanya, Jannah telah selesai menduduki peperiksaan bagi enam mata pelajaran dan menunggu dua lagi kertas peperiksaan iaitu Sains dan Sastera.

"Tarikh 4 Disember merupakan hari peperiksaan subjek Sastera, Jannah ada beritahu saya yang dia tak sabar nak jawab periksa.

"Subjek Sastera paling Jannah minat dan sasarkan akan dapat A,” katanya.

Menceritakan detik kejadian katanya, arwah pulang dari asrama tiga hari sebelum kejadian sebelum meminta izin untuk ke Tanjung Piai bagi bertemu keluarga angkatnya.

"Saya tak sangka Jannah ke laut untuk ke pulau buatan. Sudah banyak kali saya pesan jangan mandi laut sebab cuaca sekarang tak menentu kadang-kadang hujan, bahaya jika ke laut.

"Panggilan memaklumkan kejadian yang menimpa anak dan rakan mereka yang diterima pada pagi kejadian itu, cukup mengejutkan saya,” katanya.

Sebelum ini, mayat Nurul Jannah ditemui seorang nelayan dalam hutan bakau berhampiran perairan Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) kira-kira jam 10.30 pagi, Sabtu lalu.

Jenazah Nurul Jannah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Piai selepas proses pengecaman mayat dilakukan oleh bapa angkat mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa.

Sempat bergurau ke kubur

Gurauan hendak ke kubur oleh arwah sebelum kejadian di pulau buatan itu berlaku masih diingati kakak angkat, Nur Haslin Zam Delaila, 25.

Nur Haslin berkata, dia tidak menyangka gurauan itu menjadi nyata selepas dimaklumkan mengenai kehilangan Jannah di pulau buatan akibat terjerlus ke dalam air.

Jelasnya, arwah seorang yang periang dan cukup rapat dengan keluarga angkatnya yang sudah dianggap seperti keluarga kandung.

"Sebelum arwah turun ke laut bersama adik dan empat lagi rakan mereka, arwah sempat bergurau beritahu dia hendak pergi ke kubur.

"Saya anggap itu hanya gurauan. Tak sampai sejam arwah ke laut, saya terkejut selepas dimaklumkan tentang kehilangan Jannah,” katanya.

Sabariah (kanan) dan Nor Haslin menunjukkan baju sekolah sepatutnya dipakai Nurul Jannah pada hari terakhir dia menduduki SPM hari ini.

Tambahnya lagi, Jannah juga sering bertanya tentang tarikh 26 November, namun apabila ditanya tentang tarikh tersebut hanya senyuman yang diberikan.

"Berulang kali arwah tanya, bila 26 November. Itu bukan tarikh lahir Jannah. Bila ditanya sebab kenapa asyik tanya tarikh itu, Jannah cuma tersenyum dan cakap tiada apa-apa.

"Rupanya 26 November adalah tarikh Jannah hilang lepas terjerlus di pulau buatan,” katanya dengan nada sebak.

Dalam pada itu, Sabariah memberitahu arwah anaknya bersungguh-sungguh hendak membantu keluarga dengan bekerja sementara menunggu keputusan SPM kelak.

"Saya sekarang tak bekerja. Dulu kerja kilang, tetapi selepas terlibat kemalangan selepas Aidilfitri lalu, saya sukar untuk berjalan.

"Perbelanjaan dibantu oleh ahli keluarga. Saya juga mempunyai seorang anak kurang upaya,” katanya.

Warta pulau buatan sebagai kawasan larangan

Tidak mahu kejadian menimpa anaknya berulang, Sabariah meminta agar pulau buatan diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam.

Katanya, ramai orang luar yang berkunjung ke Tanjung Piai tertarik dengan pulau buatan yang terletak di tengah-tengah perairan Tanjung Piai dan dikelilingi dengan kapal-kapal dagang.

"Jadikan kejadian yang menimpa anak saya ini sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa depan.

"Pulau buatan bukan tempat makan angin. Ramai tidak tahu keadaan struktur pulau itu tidak kukuh,” katanya.Nurul Jannah hilang pada 26 November lalu dan jasadnya ditemui di hutan bakau berhampiran perairan TNJTP, Sabtu lalu.