PADANG TERAP - [DIKEMASKINI] Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak yang terlibat dalam kes buli digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamat pengajian mereka di institusi berkenaan.
Katanya, JDM telah mengambil langkah awal dengan memanggil keseluruhan 10 pelajar tingkatan satu hingga tiga yang terlibat dengan insiden berkenaan untuk siasatan lanjut.
"Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa, manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mara diarah lakukan siasatan terperinci kes buli pelajar
Menurutnya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
"MARA juga mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.
"Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.
"Tetapi masih juga berlaku kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan terbabit," katanya.
Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan siasatan luaran.
"Apa keputusan polis terserah kepada polis, kita putuskan urusan secara dalaman sahaja," katanya.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menambah, pengambilan pelajar ke MRSM pada ketika ini berjalan mengikut prosedur sedia ada.
" Kejadian ini berpunca daripada emosi anak- anak muda, kalau baca report (laporan) penuh tu lebih kepada emosi kemarahan," katanya.
Pada Jumaat, Polis menahan enam suspek kes buli yang didakwa berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial Khamis lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis Perak siasat video buli pelajar sekolah
Tujuh pelajar, mangsa dipanggil beri keterangan
Buli: Empat pelajar ditahan bantu siasatan
Buli: Dua lagi pelajar ditahan
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kira-kira jam 6 petang.
Pada Khamis, tular video berdurasi 13 hingga 30 saat memaparkan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.
Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.