Buli petanda pelajar alami gangguan emosi

Iklan
Saarani Mohamad

IPOH - Pelajar yang sanggup memukul orang lain dilihat sebagai petanda mereka berada dalam keadaan tertekan atau mempunyai gangguan emosi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, emosi yang tidak stabil menyebabkan mereka mencari jalan dengan melepaskan tekanan kepada orang lain.

Iklan
Iklan

"Sebagai seorang bekas guru, saya melihat buli ini sebagai cara pelajar-pelajar di asrama melepaskan perasaan. Barangkali dia tidak puas hati dengan kedua ibu bapanya, dipaksa masuk asrama, guru dan lain-lain.

"Maka untuk melepaskan tekanan itu adalah dengan cara memukul orang," katanya ketika mengulas mengenai kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) 2021 di Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh pelajar, mangsa dipanggil beri keterangan

Iklan

Menurutnya, peranan ibu bapa penting dengan menyedari dari awal perubahan kelakuan dan sikap anak-anak terutama yang tinggal di asrama.

"Begitu juga dengan guru-guru atau warden di asrama perlu melihat dan menyedari kalau berlaku perubahan terhadap kelakuan pelajar-pelajar.

Saarani melihat arca yang dipamerkan di Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) 2021 di PORT, Ipoh pada Sabtu.

"Pada saya, orang yang sanggup pukul orang lain ini emosinya tidak stabil. Orang yang emosinya stabil mempunyai rasa sayang, kasih, takut atau malu tetapi kalau sanggup pukul orang sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena.

"Apabila sudah tiada perasaan itu, saya rasa keadaan ini bahaya dan perlu diberi perhatian," katanya.

Kejadian buli membabitkan lapan pelajar Tingkatan Satu termasuk mangsa di sebuah asrama yang videonya tular di media sosial pada Jumaat telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan warganet.

Bagaimanapun, polis telah menahan enam daripadanya ketika mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi membantu melengkapkan siasatan kes terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Buli: Enam pelajar MRSM digantung sekolah dua minggu