Peralihan, pembetulan jadi tema pasaran saham pada 2022

Iklan
Pasaran saham global akan mengalami beberapa peralihan dan pembetulan pada 2022, terutamanya dalam ruang dasar monetari.Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pasaran saham global akan mengalami beberapa peralihan dan pembetulan pada 2022, terutamanya dalam ruang dasar monetari, kata Affin Hwang Asset Management.

Pengarah Urusan, Datuk Teng Chee Wai berkata, firma itu menjangkakan pengetatan dasar monetari global dan bank pusat dalam pasaran sedang pesat membangun untuk terus menaikkan kadar faedah.

Iklan
Iklan

"Ini (kenaikan kadar faedah) akan berlaku tahun depan dan 2023 dan peralihan pasaran akan melangkaui usaha rangsangan kecemasan yang meruncing.

"Kami menjangkakan bank pusat mengurangkan imbangan kira-kira mereka dan bergerak ke arah menormalkan kadar faedah, namun, ini tertakluk kepada peristiwa (global) dan data ekonomi semasa ia berlaku,” katanya pada acara webinar bertajuk"Review and Outlook|Ask Teng Anything on Markets” di sini pada Sabtu.

Iklan

Ditanya mengenai kejatuhan pasaran saham, Chee Wai berkata, senario seumpama itu tidak mungkin berlaku walaupun pada hakikatnya isu seperti pasaran buruh dan inflasi yang tinggi terus menyelubungi pasaran global.

"Tidak mungkin pasaran akan jatuh, kemungkinan besar pasaran akan membetulkannya sendiri walaupun kita melihat pasaran, terutamanya pasaran di Amerika Syarikat, enggan berbuat demikian.

Iklan

"Sementara, dari segi pasaran Asia, perlu diperhatikan bahawa pasaran Asia sedang mengalami beberapa tahap konsolidasi dan pembetulan,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi global semakin perlahan dan ini telah menjadi trend sejak suku ketiga 2021.

"Bukan itu sahaja, unjuran pendapatan (korporat) juga perlahan, yang merupakan penyimpangan kerana kita melihat gangguan Covid-19 pada 2020 dan 2021,” katanya.

Beliau berkata, untuk 2022, angka pendapatan akan menjadi normal antara enam peratus hingga sembilan peratus di seluruh dunia.

Mengenai aliran keluar asing yang berterusan, beliau berkata pada masa ini, Malaysia disifatkan sebagai tidak menarik untuk dana asing, situasi yang mungkin menguntungkan Malaysia kerana pemain domestik menentukan arah aliran dalam pasaran tunai tempatan.

"Kehadiran pelabur asing berada pada paras terendah sepanjang masa, namun, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan tidak semestinya sesuatu yang negatif kerana pemain domestik muncul sebagai kuasa besar dalam menggerakkan pasaran domestik.

"Pengurus dana, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta sektor swasta menjadi pemain besar dalam pasaran,” tambahnya.

Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih dalam pasaran ekuiti tempatan dengan nilai RM12.09 bilion, manakala institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih, masing-masing mencatatkan sebanyak RM9.69 bilion dan RM2.4 bilion.

Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur sebelum mengakhiri minggu ini dalam zon negatif, mencapai paras terendah 13 bulan pada Isnin lepas berikutan kebimbangan terhadap potensi kesan Omicron terhadap pemulihan ekonomi global.

Berdasarkan perbandingan urus niaga mingguan Jumaat hingga Khamis, indeks penanda aras susut 12.86 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,488.88 daripada 1,501.74 dan jumlah dagangan mingguan turun kepada 17.03 bilion unit bernilai RM10.2 bilion berbanding 19.19 bilion unit bernilai RM18.98 bilion minggu sebelumnya. - Bernama