PETALING JAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Kewangan (MoF) sentiasa bekerjasama dalam pelbagai perkara termasuk melibatkan pelaksanaan konsep rangkaian tunggal 5G atau Rangkaian Borong Tunggal (SWN) menerusi Digital Nasional Bhd (DNB).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebarang keputusan utama akan dilakukan kabinet, bermakna suatu keputusan itu adalah secara kolektif.
"Tidak ada satu kementerian yang melakukan segala-galanya, jadi kita mesti sentiasa menerima hakikat dan mengiktiraf prinsip tanggungjawab kolektif.
"Kami melakukan bersama-sama (apa-apa keputusan) dan tidak ada masalah sama sekali. Kami akan terus bekerjasama, terus berunding dan melakukan perkara yang sewajarnya kerana keputusan tertentu sama ada kementerian saya atau perbendaharaan membuat keputusan.
"Keputusan besar akan dibuat oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan syarikat perkhidmatan telekomunikasi Unbox Malaysia di sini pada Sabtu.
Beliau berkata KKMM dan MoF bersetuju untuk menyediakan kertas kerja bersama berhubung isu melibatkan 5G dan DNB supaya keputusan dapat dilakukan Kabinet dan sementara menunggu, program melibatkan 5G berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah dari segi pelaksanaan.
Pada masa sama, Annuar turut berterima kasih dengan penjelasan diberikan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung isu berkenaan dan kerajaan sentiasa bersedia memberikan penjelasan lanjut sekiranya jawapan pada persidangan Parlimen menimbulkan kesamaran.
Beliau berkata, masa diberikan untuk menjawab sesuatu soalan di Parlimen amat pendek dan tidak mustahil boleh berlakunya kekeliruan.
Menurut Annuar, Tengku Zafrul telah menghubunginya terlebih dahulu sebelum membuat penjelasan berkenaan dan beliau tidak mempunyai sebarang masalah kerana mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain tanpa menunggu sesi mesyuarat.
"Saya sentiasa mengadakan perbincangan dan rundingan dengan Menteri Kewangan, malah sebelum memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan semasa sidang Parlimen, beliau telah menghubungi saya dan saya bersetuju agar Menteri membuat penjelasan lanjut.
"Saya rasa ini sangat penting untuk menjelaskan perkara itu dan saya harap tiada lagi polemik yang berpanjangan kerana sebenarnya memang banyak isu yang sedang diperbahaskan berhubung pelancaran 5G dan juga penubuhan DNB,” katanya
Pada Jumaat, Tengku Zafrul dilapor menjelaskan konsep rangkaian tunggal 5G atau SWN telah dibincangkan secara bersama antara MOF dan KKMM di Kabinet sejak 2019.
Tengku Zafrul memberi penjelasan itu bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat pada 9 Disember bahawa tiada perundingan antara MoF dan KKMM mengenai pelantikan DNB sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model SWN. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:Penubuhan DNB hasil perbincangan KKMM, SKMM dan MOF