KUANTAN - Masa yang singkat hanya empat hari untuk tawaran diskaun saman 80 peratus bagi saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia antara faktor orang ramai menyerbu kaunter saman trafik di Kuantan untuk menjelaskan tunggakan saman.
Masalah portal dan aplikasi MyBayar Saman yang sukar untuk diakses juga punca orang ramai hadir sendiri ke kaunter bayaran saman Balai Polis Trafik Kuantan walaupun terpaksa beratur panjang.
Walaupun bilangan pelawat ramai, namun hasil tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan di pekarangan Balai Polis Trafik Kuantan terkawal.
Ketika ditemui, ada di antara pelawat hadir sejak jam 10 pagi namun hanya selesai menjelaskan bayaran tunggakan saman kira-kira jam 3.30 petang.
Salah seorang pelawat yang ditemui, Wan Mohd Naim Wan Mohd Salleh, 57 berkata, tawaran 'istimewa' yang diberikan itu tidak boleh dilepaskan.
Katanya, diskaun saman 80 peratus cukup besar dan bukan selalu ditawarkan.
"Saya rebut peluang ini sebaiknya dan hari ini (Sabtu), semua saman dapat dijelaskan.
"Bagi saya dan mungkin seluruh rakyat juga, peluang ini cukup bermakna dan dapat membantu mengurangkan beban lebih-lebih lagi ramai yang susah ketika pandemik Covid-19 ini," katanya ketika ditemui selepas selesai membayar saman di kaunter saman trafik Balai Polis Trafik Kuantan di sini, pada Sabtu.
Wan Mohd Naim berkata, walaupun terpaksa beratur panjang lebih lima jam, dia lega kerana tidak terlepas peluang itu.
Pandangan sama turut dikongsi seorang pemandu syarikat kurier dari Shah Alam, Mohamad Yaakob,59.
Kata Mohamad, dia hadir menemani isterinya untuk membayar saman selepas gagal membuat bayaran secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman.
"Memang inisiatif kerajaan ini cukup baik kerana inilah masanya untuk mereka yang mempunyai saman tertunggak menjelaskannya.
"Dalam keadaan Covid-19 ketika ini, memang agak membebankan bagi mereka yang ada saman untuk membayarnya apa lagi kalau nilai saman mencecah ribuan ringgit," katanya.
Dia menyambut baik langkah kerajaan itu namun untuk akan datang, tempoh masa yang diberikan perlu dikaji semula kerana terlalu singkat dan boleh menyebabkan kesesakan di kaunter bayaran saman.
Bagi seorang pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Zam, 32, dia terpaksa memohon cuti selama dua hari supaya tidak terlepas peluang itu.
"Saya tahu, akan berlaku kesesakan kerana orang ramai akan serbu kaunter bayaran kerana masa yang singkat. Hari ini pun ramai orang namun semua berjalan lancar.
"Walaupun sudah hampir jam 4 petang orang ramai masih datang, namun disebabkan mereka yang datang awal, ada yang belum selesai jadi individu yang datang lewat telah diminta anggota polis bertugas untuk datang esok," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kehadiran orang ramai ke kaunter bayaran saman memang ramai namun keadaan terkawal.
Menurutnya, sambutan orang ramai terhadap kempen bayar saman 80 peratus pada hari ketiga semakin menggalakkan.
"Sehingga jam 1 tengah hari ini (Sabtu), jumlah pelawat direkodkan seramai 780 orang dan 2,316 saman diselesaikan dengan kutipan lebih RM105,000.
"Keadaan hari ini terkawal dan kami membuat pembahagian untuk orang ramai masuk secara berperingkat ke tempat menunggu yang disediakan," katanya ketika dihubungi.
Wan Mohd Zahari berkata, orang ramai diminta supaya tidak datang serentak pada satu-satu masa kerana kaunter dibuka hingga ke petang.
"Sebaiknya buat pembayaran secara pembayaran elektronik melalui portal dan aplikasi MyBayar Saman," katanya.