KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan terdapat 84,000 saman daripada 121,000 yang dikeluarkan pada tahun lalu melibatkan kesalahan trafik masih belum dijelaskan oleh rakyat negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, bagaimanapun 37,517 saman bagi tahun lalu sudah dijelaskan oleh individu terlibat setakat ini.
"Kita sedang melakukan pelbagai usaha dan kaedah untuk memastikan pemilik-pemilik saman membayarnya di kaunter polis," katanya kepada pemberita selepas turun padang melihat pembayaran saman sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.
Menurutnya, kesalahan trafik paling tinggi yang dilakukan sepanjang tahun lalu ialah memandu melebih had laju.
Beliau berkata, kesalahan kedua berkait dengan lesen seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan tidak membawa lesen.
Mengulas lanjut mengenai pembayaran saman sempena AKM, Shafien berkata, sebanyak RM1.48 juta bayaran saman telah berjaya dikutip oleh pihaknya sehingga Jumaat.
"Alhamdulillah, sepanjang kaunter pembayaran ini beroperasi orang ramai memberikan kerjasama baik dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19," katanya.